KUALA LUMPUR – Kelab Arab Saudi, Al Hilal berjaya mendapatkan khidmat pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), West Bromwhich Albion iaitu Matheus Pereira.
Berita itu dikongsikan oleh wartawan perpindahan pemain popular, Fabrizio Romano yang memberitahu Matheus telah lulus ujian perubatan yang dijalankan di Paris dan dia menandatangani kontrak sehingga Jun 2026.
Apa pun, perpindahan Matheus ke Al Hilal itu cukup mengejutkan kerana pemain berusia 25 tahun itu merupakan pemain terbaik West Brom dalam EPL musim lalu meskipun mereka tersingkir ke saingan Liga Kejuaraan musim ini.
Tawaran lumayan yang diberikan oleh Al Hilal nyata sukar ditolak oleh Matheus dimana dia berkata tawaran yang diberikan bakal mengubah hidup beliau dan juga keluarganya.
Selain itu, dia juga mahu mencari cabaran baharu dengan beraksi di liga yang berbeza.
Matheus menyertai West Brom secara pinjaman dari Sporting CP pada musim 2019/2020 dan beliau membantu kelab itu meraih promosi ke saingan EPL pada musim berikutnya.
Pada musim 2020/2021, West Brom berjaya mendapatkan khidmat Matheus secara tetap dan beliau menandatangani kontrak selama empat tahun. – MalaysiaGazette