Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar sesuatu daripada Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Tahlil ibunya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa menteri yang bertemu Datuk Seri Najib Razak malam tadi dikatakan telah memohon supaya polemik yang sedang berlaku sekarang dihentikan.

Menurut sumber MalaysiaGazette, perkara tersebut disampaikan Ismail Sabri kepada bekas Perdana Menteri itu dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira tiga jam bermula pukul 8 malam tadi.

Dalam pertemuan yang turut disertai beberapa menteri Kabinet itu di kediaman Najib itu, mereka menyuarakan pendirian akan terus kekal menyokong Perikatan Nasional sehingga akhir tahun ini.

Mereka juga berpendirian bahawa kemelut politik yang tercetus berikutan keputusan Majlis Tertinggi UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu perlu ditangguhkan sehingga usaha membendung penularan Covid-19 di negara ini selesai.

Artikel berkaitan

Ismail Sabri bersama beberapa menteri bertemu Najib

Ia berikutan menteri-menteri UMNO masing-masing memegang portfolio penting berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan tanggungjawab tersebut perlu diberi keutamaan.

Pertemuan itu juga dipercayai ada kaitan dengan desas-desus bahawa Ismail Sabri akan mengadakan sidang media hari ini bersama menteri-menteri UMNO berhubung pendirian mereka untuk tidak menarik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Setakat ini hanya seorang menteri UMNO iaitu Datuk Shamsul Anuar Nasarah telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli selepas Majlis Tertinggi parti itu memutuskan menarik semula sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Artikel berkaitan

UMNO Tarik Sokongan Daripada PN, Shamsul Anuar Menteri UMNO Pertama Letak Jawatan #MGFlash

Keputusan itu dibuat berikutan kemelut PN dan Istana Negara berhubung pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang diputuskan Kabinet Muhyiddin pada 21 Julai lalu.

Selain Ismail dan Shamsul Anuar, ahli Parlimen UMNO di dalam Kabinet Muhyiddin terdiri daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Saddiq; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. ahli umno jgn jadi pak turut…korang masih nak tegakkan presiden yg kuat U turn, sekongkol dgn anwar & lebiih 40 kes salah guna kuasa di mahkamah? nengok Datuk Najib, isu personal tk heret pun parti.
    kalau mcn ni aku rasa umno akan tergolek pru nanti. jadi tk releven…

    pikir2 kan

  2. Kalau tak nak ikut keputusan parti, buat parti sendiri laaa…sendiri jd presiden, sendiri jd MKT…tak pun isi borang PPBM segera….

Comments are closed.