Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad ketika melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hopsital Pakar KPJ Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Keputusan pekerja Malaysia yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin untuk pulang tanpa perlu transit  di pusat kuarantin masih lagi belum mendapat kata putus Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, ada cadangan sebelum ini mahu pekerja Malaysia di republik berkenaan yang sudah melengkapkan dua dos vaksin hanya perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Perkara ini sudah di bawa kepada kementerian terbabit dan setakat ini tiada sebarang bantahan. Kita hanya menunggu  keputusan rasmi MKN untuk membenarkan mereka kuarantin di rumah,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hopsital Pakar KPJ Johor hari ini.

Pada bulan lalu, satu petisyen atas talian diwujudkan yang memohon supaya pekerja Malaysia di Singapura yang hendak pulang ke negara ini untuk tidak perlu transit di pusat kuarantin.

Ini kerana kos pusat kuarantin menelan belanja sehingga RM10,000 seorang hingga menjadi kekangan buat pekerja Malaysia di sana untuk pulang ke tanahair dan ramai kekal berada di salebih setahun yang lalu.

Menurut Hasni, jumlah pekerja Malaysia di Singapura yang mahu pulang tidak seramai mereka yang mahu masuk ke republik itu untuk mencari peluang pekerjaan.

Ujarnya, ada dalam kalangan pekerja Malaysia di Singapura terpaksa menahan rindu untuk pulang kerana berisiko hilang kerja setelah perlu menjalani proses 14 hari kuarantin di negara ini dan 14 hari lagi ketika masuk semula ke Singapura.

“Kita akan berbincang semula dengan kerajaan Singapura berhubung skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) apabila kes Covid-19 di Johor dan Singapura mencatatkan penurunan.

“Ini memang menjadi keutamaan kita dan kita sudah sedia dengan semua prosedur operasi standard,” katanya.-MalaysiaGazette