Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

KUALA LUMPUR – Kini giliran Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Nizar Zakaria membuat penafian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti yang didakwa pemimpin UMNO pada Jumaat lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim membuat penafian sama.

Mohd Nizar berkata, beliau tidak menyokong Muhyiddin malah memilih untuk patuh kepada pendirian UMNO seperti mana yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya patuh kepada keputusan parti. Parti melalui MKT (Majlis Kerja Tertinggi) telah membuat keputusan serta ketetapan.

“Sebagai ahli parti, saya ikut keputusan parti,” katanya dalam Facebook beliau, hari ini.

Nama Mohd Nizar disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai salah seorang daripada 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menyokong kerajaan PN.

Bagaimanapun, nama beliau disebut sebagai ahli Parlimen yang tidak hadir dalam sidang media tergempar yang diadakan di auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun yang bersetuju secara lisan (mulut) menyokong kerajaan.

Antara nama-nama lain yang tidak hadir namum disebut menyokong PN adalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican; Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Lima lagi adalah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin; Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng. – MalaysiaGazette

31 ahli Parlimen BN kekal sokong kerajaan PN – Ismail Sabri