Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan mengesahkan jaguh trek berbasikal negara, Shah Firdaus Sahrom tidak mengalami kecederaan patah rusuk selepas terlibat dalam kemalangan pada pusingan saringan acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo di Velodrom Izu, Jepun hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lebih lanjut di hospital menunjukkan Shah Firdaus kini berada dalam keadaaan stabil namun rawatan lanjutan akan diteruskan.

“Ppemeriksaan lebih lanjut di hospital menunjukkan dia stabil dan tidak patah tulang rusuk.

“Tetapi pemeriksaan lanjutan akan dibuat lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Reezal mengulas perkembangan terkini, Shah Firdaus yang terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan pada rusuk selepas berjaya melayakkan diri ke suku akhir acara keirin itu.

Menurut kemas kini di laman Facebook Team Malaysia, Anggota Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Datuk Amarjit Singh, berkata Shah Firdaus mungkin mengalami patah tulang rusuk.

Shah Firdaus dibawa oleh petugas paramedik ke Hospital Universiti Juntendo, Shizouka.

Terdahulu, pelumba basikal 25 tahun itu berdepan kemalangan selepas berlaku himpitan pelumba Great Britain, Jack Carlin mengakibatkan perlumbaan semula tidak dapat diteruskan.

Bagaimanapun kecederaan bukan penghalang untuk kekal dengan aksi bertenaga apabila pelumba kelahiran Muar itu memilih menyertai pusingan repechage bagi merebut tempat ke suku akhir.

Kecederaan yang dialami Shah Firdaus di bahagian rusuk tidak menghentikan perjuangan atau mengganggu prestasinya.

Aksi penuh mendebarkan apabila dia sekali lagi hampir terjatuh namun henjutan terakhir yang menyaksikan dia mengenepikan kesakitan berjaya membawanya berada di kedudukan kedua sekali gus menempah tempat di suku akhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast