Hairul Nizam Toha

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Kuala Langat mengingatkan Pas Selangor tidak memainkan isu perkauman dan agama dengan ‘menjual’ jumlah bilangan Ahli Parlimen bukan Islam dalam komponen Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Amanah Kawasan, Hairul Nizam Toha berkata, kenyataan yang dibuat Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohamad Shahir berhubung isu itu jelas tidak matang.

“Kita nak mengingatkan Roslan SMS tidak menggunakan isu perkauman dan agama untuk memujuk UMNO.

“Beliau sebaliknya perlu insaf dengan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani masalah rakyat sehingga menyebabkan krisis politik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga mengingatkan Pas Selangor mengenai kebiadaban Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan membelakangi Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan Ordinan Darurat sehingga mengundang kemurkaan baginda.

Kata Hairul Nizam, ketika PH menjadi kerajaan pusat mahupun negeri, mereka tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan memastikan kebajikan serta pembangunan orang Melayu dan agama Islam dipelihara, di samping tidak meminggirkan bangsa serta penganut agama lain.

“Kita menyeru Roslan SMS jangan bertindak songsang dan segera bertaubat kerana sebarang tindakan politik dalam negara ini tidak menyebabkan agama Islam dan orang Melayu terpinggir.

“Sebaliknya dalam pentadbiran kerajaan PN ketika ini menyebabkan orang Melayu semakin mundur dan miskin serta agama Islam semakin terpinggir,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hairul Nizam, ketika PH menjadi kerajaan pusat mahupun negeri, mereka tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan memastikan kebajikan serta pembangunan orang Melayu dan agama Islam dipelihara, di samping tidak meminggirkan bangsa serta penganut agama lain ….KENCING MUNAFIK 22BULAN

Comments are closed.