KUALA LUMPUR – Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu disatukan menerusi penubuhan Muafakat Nasional (MN).
Cadangan itu dikemukakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas sempena mengambil iktibar peristiwa penghijrahan Rasulullah.
Kata beliau, penyatuan tiga parti teras Melayu-Islam dan Bumiputera itu bertujuan untuk memimpin perubahan dengan penubuhan MN.
Katanya, perubahan itu disertakan pendekatan masyarakat majmuk dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN) bersama prinsip yang fleksibel bagi melakukan perubahan positif.
“Pada masa sama, ia tidak menghapuskan rupa bangsa dan budaya masing-masing yang berkonsepkan tiada paksaan beragama dan adil kepada semua,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden.
Beliau berkata, inilah kejayaan yang dimulakan dengan hijrah Rasulullah SAW dan wajib diambil sebagai iktibar untuk dijadikan tauladan oleh umat Islam.
Oleh itu, menurut Abdul Hadi, pendekatan berdasarkan acuan hijrah Rasulullah itu perlu diperkenalkan semula di negara yang bermasyarakat majmuk ini.
“Jangan kita terlepas pandang dalam mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah ini, iaitu pelaksanaan realiti perpaduan dalam kalangan umat masyarakat majmuk yang paling berjaya dalam sejarah politik dunia.
“Kejayaan yang telah menyatukan manusia daripada pelbagai agama dan bangsa, berkonsepkan adil kepada semua dan tiada paksaan beragama, khususnya agenda pecah dan perintah, di mana kesannya berpanjangan sehingga kini.
“Sehinggalah negara kita tetap bermasalah, walaupun dikatakan sudah mengecapi kemerdekaan dan penjajah asing sudah pulang ke tanah air mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu turut mengajak rakyat agar menghargai pemimpin pelbagai kaum yang sama-sama menentang penjajah, walaupun berbeza agama dan bangsa serta berpecah dari sudut kefahaman dan anutan mereka.
Tetapi, katanya, semua menanggung nasib sama-sama dijajah dan masing-masing dipergunakan untuk kepentingan penjajah.
Jelas beliau, asas kukuh diletakkan dalam Perlembagaan negara ketika mencapai kemerdekaan apabila ditegaskan Islam sebagai agama bagi persekutuan serta mengiktiraf hak beragama bagi penganut agama lain dan konsep demokrasi.
“Manakala konsep Raja Berperlembagaan menjadi tonggak yang boleh dilakukan tindakan susulan bagi memperkenalkan acuan perpaduan dalam masyarakat majmuk,” katanya. – MalaysiaGazette
PUTUS SILATURAHIM DEMI DENDAM KESUMAT PADA BANGSA MELAYU ISLAM SENDIRI ADALAH AGENDA UTAMA SEKARANG
ditokok tambah dengan BATU API/pemfitnah DAN ADU DOMBA untuk terus jahanamkan Perpaduan Ummah