Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Beberapa kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan berhubung pergerakan orang ramai dibimbangi akan menyebabkan penularan varian Covid-19 yang lebih berbahaya.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, antara varian yang dibimbangi akan menyelinap iaitu varian Delta Plus atau varian Lambda di mana kedua-dua varian ganas itu sedang menular di luar negara.

Beliau berkata, fakta dan sains menunjukkan individu yang sudah divaksin lengkap tidak terkecuali daripada dijangkiti Covid-19, lebih-lebih lagi varian baru.

“Pelbagai kemudahan lain yang diumumkan turut dianggap terlalu awal atau pramatang ketika negara mencatatkan kes harian sekitar 18,000 hingga 20,000 sehari dan turut mencatatkan kes kematian tertinggi setiap minggu.

“Kemudahan perjalanan dan makan di restoran bakal mengakibatkan negeri-negeri fasa dua akan terdedah kepada penularan kluster baru seperti mana terjadi pada akhir tahun lepas apabila kebenaran rentas negeri diberikan terlalu awal.

“Negeri-negeri hijau ketika itu seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang bertukar menjadi negeri merah dalam tempoh seminggu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, DPIM berpendapat kerajaan seharusnya memberikan tumpuan kepada program vaksinasi supaya dapat mencapai immunisasi kelompok 80 peratus sebelum apa jua perkara dilonggarkan.

Kerajaan juga katanya, perlu menumpukan usaha dalam menangani kes brought-in-dead” (BID) yang semakin meningkat.

Ujarnya, ia adalah fakta dan sains yang perlu diteliti kerana kes BID adalah mereka yang dilaporkan tidak bergejala atau bergejala ringan pada waktu dikesan positif Covid-19.

“Jadi, kemungkinan besar kes tahap satu atau tahap dua menjadi ganas kepada tahap empat atau tahap lima dalam sekelip mata. Mungkin juga ada kes terpencil di mana jenazah disahkan positif setelah dihantar ke hospital,” katanya.

Tambah beliau, sudah tiba masanya, kerajaan bertindak pantas agar situasi negara tidak menjadi seperti di India di mana pesakit bergelimpangan di atas lantai hospital dan mayat dilonggokkan kerana tiada tempat simpanan.

Kegusaran ibu bapa juga ada benarnya apabila Kementerian Pendidikan Malaysia mahu membuka kembali pembelajaran di sekolah secara bersemuka pada awal September ketika keadaan tidak terkawal, jelasnya.

“Adakah kita belajar dengan peningkatan kes Kluster Pendidikan yang berlaku pada awal tahun ini? Ambillah iktibar dan pengajaran daripada pengalaman kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast