Mustafa Shah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) berada di landasan tepat untuk membawa keluar negara dari wabak Covid-19 dengan ratusan kematian sehari?

Persoalan dibangkitkan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid sambil menyifatkan jumlah 360 kematian yang direkodkan semalam melebihi mangsa terkorban dalam tragedi pesawat MH17 pada tahun 2014.

“Ratusan kematian sehari dengan semalam merekodkan jumlah melebihi 300 orang, apakah kita boleh mengatakan kerajaan PN berada di landasan tepat untuk membawa keluar negara ini dari pandemik Covid-19?

“Jumlah kematian ini melebihi jumlah mangsa korban nahas MH17. Sudah sampai ke tahap umpama setiap hari sebuah kapalterbang terhempas,” katanya menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Bahkan, kata beliau, pelaksanaan Proklamasi Darurat pada Januari lalu sehingga 21 Julai lalu juga gagal menyekat penularan wabak sehingga merekodkan kes positif melebihi 20,000 kes sehari.

Katanya, rakyat Malaysia kini dalam situasi tidak selamat kerana Covid-19 apatah lagi varian baru yang tiada simptom dan boleh merebak dengan cepat sehingga meragut nyawa.

“Namun, kita tidak nampak satu pelan yang tuntas daripada kerajaan dalam menangani wabak ini secara berkesan malah pengumuman kelonggaran kepada mereka yang lengkap vaksin oleh Perdana Menteri semalam juga tiada yang menarik.

“Ianya tidak lain sekadar hendak mengambil hati mereka yang lengkap dua dos selain membuka kepada risiko penularan wabak,” katanya.

Justeru, kata Mustafa, kerajaan PN gagal menangani wabak Covid-19 dengan berkesan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula didakwa tidak mempunyai kewibawaan menguruskan negara.

Begitu juga, tegasnya, tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang mahu UMNO mengadakan pemilihan parti ketika kes positif harian Covid-19 mencecah puluhan ribu sehari.

“Tindakan begini bukan sahaja berupaya ‘membunuh’ UMNO tetapi juga membunuh sebahagian ahli dengan memaksa parti mengadakan pemilihan ketika wabak Covid-19 sedang menggila.

“RoS tidak sepatutnya menjadi alat politik kerajaan bagi menekan kepimpinan UMNO dengan arahan ataupun tindakan yang tidak masuk akal,” katanya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Kangsar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast