NILAI – Seramai 3,000 orang menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di TVC Little Chennai Convention Centre yang diwujudkan Makkal Sakthi Negeri Sembilan.

Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata, pihaknya teruja dengan penganjuran PPV itu bagi masyarakat Nilai memandangkan ia sangat diperlukan ketika ini.

“Ramai juga yang memohon tetapi kita hanya diberikan kapasiti sebanyak 3,000 orang sahaja dan nama pula diberikan oleh MySejahtera.

“Makkal Sakthi melalui Datuk Saravanakumar (Naib Presiden Makkal Sakti) menggunakan lokasi ini memandangkan premis-premis perniagaan dimiliki olehnya bersama-sama rakan perniagaan. Mereka kemudian sepakat menggunakan lokasi ini sebagai pusat vaksin.

“Kita mendapat kerjasama dari KKM Daerah Seremban juga sokongan UMNO Negeri juga merupakan penganjuran sulung Makkal Sakti dan kami cukup teruja apabila mendapat tahu ianya juga yang terbesar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, inisiatif itu dapat membantu usaha kerajaan mempercepatkan imuniti kelompok bagi mencegah penularan Covid-19.

Menurut Thanenthiran, pihaknya cuba untuk menjadi pemudah cara dan mempermudahkan proses vaksinasi terutama untuk mereka yang uzur dan tua.

“Ada dalam kalangan masyarakat kita yang rasa susah dan jauh (untuk terima vaksin), jadi bila ada tawaran yang dekat dengan tempat tinggal, mereka terpanggil untuk datang,” katanya selepas melakukan lawatan ke PPV TVC Little Chennai, hari ini.

Dalam pada itu, Thanenthiran turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melengahkan mengambil vaksin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast