Penolong Jurutera Majlis Daerah Kuala Selangor, Nurul Azmunir Ahmad dikenakan ikat jamin RM6,000 atas pertuduhan menerima rasuah pada 15 Januari tahun lalu ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2021.

SHAH ALAM – Seorang Penolong Jurutera Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS),  Nurul Azmunir Ahmad, 40, tidak mengaku bersalah atas tuduhan memberi nilaian sebut harga bagi projek-projek kecil kampung baru di Mahkamah Sesyen hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 15 Januari 2020 antara pukul 5 petang hingga jam 7 malam di Taman Kuala Selangor Utama, Kuala Selangor.

Beliau dituduh menerima untuk dirinya wang tunai sebanyak RM5,000 daripada seorang individu bagi memberikan nilai anggaran jabatan sebut harga kerja membaikpulih laluan bersimen serta kerja berkaitan di Kampung Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Bagi pertuduhan itu, Hakim Mohamad Anas Mahadzir mengenakan ikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan 13 September ini bagi sebutan kes.

Nurul Azmunir dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast