Gambar hiasan.

PERISTIWA hijrah Rasulullah SAW merupakan detik permulaan kepada berkembangnya Islam di seluruh pelusuk dunia hingga kini. Lantaran itu, peristiwa ini sewajarnya perlu sentiasa diingati bukan sahaja sebagai sebuah lakaran Sirah al-Nabawiyah, malah bagi menyemai nilai keimanan yang tinggi kepada Allah SWT.

Hal ini kerana, peristiwa hijrah mengisarkan tentang perpindahan Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah bagi menunaikan perintah Allah SWT. Bermakna, disebalik
peristiwa Hijrah terdapatnya elemen tauhid yang boleh diambil sebagai siri teladan dalam kehidupan umat Islam dalam melaksanakan segala perintah dan larangan Allah SWT.

Jika diperhalusi peristiwa hijrah, boleh digambarkan Baginda Rasulullah SAW telah melalui
satu keadaan yang sangat getir dan sukar. Hal ini kerana, sebarang kegagalan dalam perjalanan hijrah, pasti menyebabkan kecelakaan besar kepada Rasulullah SAW dan agama secara tidak langsung.

Ini bukanlah sebuah andaian tidak berasas kerana jika disorot perjalanan sebelum perjalanan hijrah Baginda, telah terbentuknya satu muafakat dalam kalangan pembesar Quraish Mekah di Dar al-Nadwah untuk membunuh Baginda pada malam perjalanan hijrah Baginda.

Perancangan tersebut memberi maksud sukarnya perjalanan hijrah Nabi Muhammad SAW. Dari satu aspek, perlu ditegaskan bahawa perjalanan hijrah yang berlaku bukanlah bermaksud Rasulullah SAW lari mahupun takut daripada ancaman musuh Baginda, malah demi merealisaikan arahan Allah SWT.

Ini sebagaimana dijelaskan oleh Shaykh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti dalam kitabnya Fiqh al- Sirah bahawa penghijrahan Baginda Rasulullah SAW bertitik tolak daripada arahan Allah SWT.

Kesimpulan tersebut sama sekali tidak menyimpang daripada mafhum kalamullah yang menyebutkan: Dan ia (Muhammad) tidak memperkatakan sesuatu berhubung dengan Agama Islam menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri (al-Najm 53:3)

Menurut al-Baghawi dalam kitab tafsirnya, ayat tersebut menjelaskan bahawa seluruh percakapan Rasulullah SAW terhindar daripada kebatilan. Bermakna dalam konteks hijrah, penghijrahan para sahabat yang diizinkan Baginda adalah berdasarkan wahyu Allah SWT.

Dalam erti kata lain, peristiwa hijrah Rasulullah SAW adalah hasil ketaatan antara kekasihnya iaitu Nabi Muhammad SAW dengan Allah SWT.

Namun begitu, perintah ini sudah tentu tidak dapat ditunaikan tanpa adanya sebarang
perancangan yang rapi daripada Baginda Rasulullah SAW. Kejayaan hijrah Baginda adalah melalui proses usaha yang selari dengan konsep sebab dan musabab. Berkenaan dengan konsep tersebut, manusia dituntut agar melakukan usaha ke arah mencapai keputusan yang dikehendaki.

Walau bagaimanapun, keputusan yang terhasil adalah dengan izin Allah SWT. Hal ini telah dijelaskan dalam beberapa firman Allah SWT antaranya:
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh
Nabi Isa AS) dan Allah SWT pula merancang membalas tipu daya (mereka) dan (ingatlah), Allah SWT sebaik-baik perancang (al-Imran 3:54) 

Berdasarkan ayat ini, satu ibrah besar yang dapat disingkap ialah iradah Allah SWT ke atas setiap aturan rencana manusia di mana Dialah yang menentukan hasil setiap perkara yang diusahakan mereka.

Memahami realiti ini dalam peristiwa hijrah, sungguhpun Baginda ialah Pesuruh Allah SWT, namun penyusunan strategi oleh Baginda menunjukkan kepada keperluan mencipta sebab bagi memperoleh musabab. Bermakna, kejayaan hijrah Nabi Muhammad SAW bukanlah sebuah peristiwa sihir mahupun seumpamanya yang tidak memerlukan usaha dan ikhtiar.

Menarik untuk disebutkan, beberapa strategi yang direncana Rasulullah SAW dalam hijrahnya merupakan bukti penting, wujudnya usaha yang sangat teratur.

Misalnya, sewaktu hendak meninggalkan rumah, Baginda meminta Saidina Ali RA untuk tidur di tempat tidurnya bagi mengelirukan musuh yang bercita-cita membunuh Rasulullah SAW.

Dari segi perjalanan pula, Rasulullah SAW tidak memilih untuk keluar dari Kota Mekah melalui laluan Utara sebaliknya menggunakan laluan Selatan dengan alasan jalan tersebut jarang digunakan.

Perjalanan hijrah Baginda SAW juga turut dibantu dengan sebilangan personaliti yang berperanan penting antaranya Abdullah Ibn Abu Bakar sebagai penyampai berita,
Amir bin Fuhayrah sebagai pengembala kambing menghapuskan jejak Rasulullah SAW dan pemberi minum, Asma’ binti Abu Bakar sebagai penyedia makanan selama tempoh 3 hari 3 malam persembunyian Baginda di Gua Thur dan Abdullah bin Urayqit sebagai petunjuk jalan menuju ke Kota Madinah.

Dari perspektif usaha dan ikhtiar, strategi yang diatur Rasulullah SAW tersebut memberi
gambaran bahawa Baginda telah menyediakan segala kelengkapan untuk menjayakan misi hijrah sebagaimana yang diperintahkan.

Persoalannya, usaha-usaha rapi tersebut seolah tidak diperlukan kerana hijrah diperintahkan oleh Allah SWT sendiri. Maka, secara logiknya sudah tentu akan hadir
pertolongan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dalam memastikan kejayaan hijrah.

Namun begitu, melalui beberapa strategi Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah membuktikan bahawa usaha dan ikhtiar manusia merupakan syarat utama terhasilnya natijah.

Hal ini kerana, manusia dituntut untuk melakukan sebab yang secara hukum adatnya melahirkan musabab (hasil). Sungguhpun begitu, usaha dan ikhtiar yang dilakukan tidak lengkap tanpa adanya tawakal kepada Allah SWT yang berhak mutlak terhadap keputusan akhir disebalik setiap usaha.

Konsep tawakal beerti penyerahan dan kebergantungan kepada Allah SWT dalam setiap urusan. Ini bermaksud, usaha yang dilakukan untuk mencapai sesuatu hanya sebab kepada berhasilnya keputusan yang dikehendaki dengan izin Allah SWT.

Dalam erti kata lain, manusia tidak boleh bergantung kepada usaha yang dilakukan, namun tidak juga bermaksud boleh meninggalkan usaha dengan alasan
tawakal kepada Allah SWT.

Justeru, tawakal merupakan satu bentuk penyerahan dan kebergantungan kepada Allah SWT setelah wujudnya usaha. Jika diperhatikan hal ini dalam perjalanan hijrah
Rasulullah SAW, satu ketika Baginda berada di Gua Thur kaum mushrikin menghampiri tempat persembunyian Baginda.

Pada saat itu, tiada lagi sebarang usaha yang mampu dilakukan melainkan bertawakal dengan penuh yakin kepada Allah SWT. Kisah ini turut dirakamkan dalam firman Allah
SWT: Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya
Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam
gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita,
sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Tawbah: 40)

Ayat tersebut mengisahkan tentang suasana getir yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dan sahabatnya Abu Bakar RA ketika tempat persembunyian mereka hampir dijumpai. Berbalik kepada konsep tawakal yang cuba diterjemahkan melalui kisah ini, boleh dirumuskan bahawa segala strategi Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa hijrah bukanlah penentu mutlak kepada kejayaan hijrah Baginda.

Namun begitu, hasil jalinan antara usaha dan penyerahan kepada Allah SWT melalui konsep tawakal. Melalui peristiwa hijrah yang disambut saban tahun, umat Islam perlu faham tentang konsep usaha dan tawakal dalam menguruskan kehidupan mereka. Bermakna, setiap usaha perlu diiringi dengan penyerahan kepada Allah SWT.

Mengambil ibrah perjalanan hijrah Baginda, segala usaha yang dilakukan untuk mengekang penularan wabak di saat ini hanyalah ikhtiar manusia. SOP, vaksin dan sebagainya hanyalah sebahagian usaha yang boleh dilakukan.

Hasilnya, kita perlu kembalikan kepada Allah SWT dalam bentuk tawakal dengan penuh pengharapan dan rintihan sebagai hamba yang kerdil dan daif. Mudah-mudahan, satu hari kelak, kita mampu kembali menikmati kehidupan yang normal seperti sedia kala.

Waalahu’alam.

Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast