Azizulhasni tidak dapat menahan sebak selepas gagal menyumbang pingat emas untuk Malaysia.

BERLABUH tirai sukan Olimpik 2020 di Tokyo telah menyingkap 1001 kenangan suka dan duka kepada atlet yang terlibat, pihak penganjur, para petugas dan para penyokong dari seluruh pelosok dunia termasuk negara kita Malaysia. Menurut Ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach temasya sukan Olimpik yang ke 32 pada kali ini merupakan pengembaraan Olimpik yang paling mencabar memandangkan dunia masih lagi bertarung dengan pandemik COVID-19.

Sepanjang lebih dua minggu temasya berlangsung dalam suasana normal baharu di samping perlaksanaan prosedur yang amat ketat turut menjadi cabaran utama pihak penganjur dan para atlet yang terlibat. Atlet berdepan dengan langkah pencegahan dan kawalan ketat dengan amalan penjarakan fizikal di perkampungan Sukan Olimpik dan kekangan utama untuk memakai pelitup muka setiap masa.

Malahan acara pembukaan dan penutupan turut berlangsung tanpa riuh rendah dan hiruk pikuk kehadiran penonton untuk memeriahkan suasana seperti kebiasaannya. Tokyo 2020 mencatatkan sejarah luar biasa apabila hampir semua acara berlangsung di gelanggang tanpa kehadiran penonton dan hanya membabitkan kehadiran atlet, wakil media dan pegawai sukan sahaja. Ia menjadi satu temasya sukan dalam norma baharu yang bakal dikenang sepanjang penganjurannya sejak mula diperkenalkan.

Sukan ini turut dikenali sebagai Sukan Olimpik Musim Panas yang diadakan setiap
empat tahun sekali. Pada kali ini, penyertaan atlet lebih rendah berbanding temasya-temasya sebelumnya iaitu hanya melibatkan 10 ribu atlet yang mewakili 206 pasukan sahaja. Pada temasya ini Majlis Sukan Olimpik Malaysia mengesahkan penyertaan atlet negara seramai 30 orang yang bakal bertanding dalam 27 acara yang melibatkan 10 jenis sukan dengan matlamat utama untuk merangkul pingat emas pertama negara.

Namun, pada kali ini kontinjen negara pergi tanpa kehadiran warga Malaysia sebagai penonton secara fizikal seperti kebiasaannya. Tekanan dalam kalangan atlet mula
dirasai apabila penganjuran sukan ini tertangguh selama setahun akibat penularan pandemik Covid 19. Tahap moral dan semangat juang dalam kalangan atlet dilihat sedikit terganggu pada awalnya. Namun, mereka bangkit meneruskan perjuangan demi negara tercinta.

 Semangat luar biasa rakyat Malaysia

Kontinjen negara yang beraksi di Tokyo telah membawa sokongan, doa dan harapan 32 juta rakyat Malaysia. Semangat kesukanan yang tinggi telah berjaya mengatasi pelbagai rintangan dan halangan untuk bersaing dengan pihak lawan tanpa rasa takut dan gentar. Saban hari sepanjang temasya berlangsung rakyat Malaysia khususnya tanpa jemu menzahirkan tanda sokongan kepada semua atlet yang terlibat. Semangat disuntik melalui hantaran video, rakaman suasana dan kata-kata semangat melalui media massa dan media elektronik yang boleh diakses tanpa batasan masa, ruang dan waktu
sepanjang Olimpik Tokyo berlangsung pada 23 Julai 2021 hingga 8 Ogos 2021.

Kecekapan teknologi menjadi perantara penting antara wakil negara dan rakyat Malaysia untuk saling berkomunikasi di antara satu sama lain. Covid-19 membataskan pergerakan untuk menyaksikan acara sukan yang berlangsung dan sama-sama meraikan kejayaan yang berjaya dicapai. Informasi livestreaming yang ditawarkan oleh stesen penyiaran terkemuka negara seperti Astro, UnifiTV dan Radio Televisyen  Malaysia (RTM) disambut baik oleh sebilangan besar peminat sukan negara ini yang saban hari menanti maklumat terkini dari negara matahari terbit.

Semangat kesukanan luar biasa dapat dilihat tatkala keadaan semasa menjadi kekangan utama namun semangat Sukan Olimpik pada tahap terbaik. Dalam hal ini, sukan bukan acara di gelanggang semata-mata dan medan untuk mencari jaguh serta menggilap bakat-bakat baru tetapi ia amat penting dalam memupuk semangat kesukanan dan
perpaduan dalam kalangan masyarakat. Melalui sokongan temasya Olimpik 2020 pada kali ini, sekali gus mampu mengeratkan silaturahim antara masyarakat yang berbilang kaum dengan semangat muhibah kesukanan untuk mengejar misi negara. Sepanjang temasya berlangsung, rakyat Malaysia sehati sejiwa memberi sokongan padu kepada para atlet untuk terus melangkah dan buat sehabis baik.

Dalam kegembiraan meraikan kejayaan atlet ada air mata kesyukuran penyokong yang mengalir. Berterima kasih di atas segala pengorbanan meninggalkan keluarga, masa demi negara tercinta. Dalam tempoh sukar seperti ini, sokongan yang berterusan dari pelbagai pihak terutama rakyat Malaysia berjaya membakar semangat para atlet untuk terus memberi aksi terbaik hingga kita berjaya membawa pulang pingat yang diimpikan. Tidak disangkal lagi sukan mampu menjadi landasan terbaik dalam memupuk perpaduan antara kaum dan ia bukan retorik tetapi suatu realiti yang telah dibuktikan berlaku.

Fahaman politik yang berbeza, kepelbagaian agama dan bangsa ditepis untuk menunjukkan tanda sokongan terhadap pasukan negara yang telah bertanding. Kegagalan tidak diratapi tetapi sokongan terus bangun dengan ucapan arigato atau terima kasih dari seluruh rakyat Malaysia. Slogan Malaysia Boleh! Dan Demi Malaysia dilaungkan tanpa henti di setiap penjuru kediaman dengan penuh semangat sambil memegang megah jalur gemilang. Suasana dikongsi dalam media sosial masing-masing sebagai tanda sokongan tanpa berbelah bagi.

Tidak dapat dinafikan temasya Tokyo 2020 merupakan salah satu pengalaman baru bagi seluruh rakyat Malaysia dan ia berjaya menjadi salah satu indikator untuk membuktikan sukan adalah ejen perpaduan. Selain itu, semangat patriotik rakyat jelas kelihatan apabila pasukan negara menentang pasukan luar. Justeru itu, pihak kerajaan melalui peranan Kementerian Belia dan Sukan turut berusaha menjadikan sukan sebagai wadah terbaik untuk memupuk dan menyemarakkan semangat kesukanan dalam pelbagai peringkat umur dan latar belakang masyarakat berbeza. Malahan, hari Sukan negara diisytiharkan
setiap Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun dan ia disambut secara serentak di seluruh negara.

Arigato Malaysia

Arigato dalam bahasa Jepun bermaksud terima kasih merupakan perkataan yang tertera di papan besar semasa majlis penutupan Olimpik 2020 di stadium Tokyo berlangsung. Ia memberi makna yang cukup mendalam untuk mengungkapkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat. Ucapan khas untuk para atlet Malaysia yang bertanding sehingga berjaya membawa pingat perak dan gangsa yang bakal menjadi kebanggaan negara.

Di Tokyo 2020, atlet negara berjaya merangkul 1 pingat perak dalam acara keirin lelaki oleh Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan pingat gangsa oleh beregu badminton nombor 1 negara iaitu Soh Wooi Yik dan Aaron Chia. Pencapaian ini amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Menurut, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menganggap pencapaian kontinjen Malaysia adalah baik. Kejayaan ini
adalah kejayaan bersama hasil usaha para atlet dan semangat serta sokongan tanpa henti seluruh warga Malaysia. Arigato Malaysia!

Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee
Universiti Sains Islam Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast