Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa hari ini memberikan keterangan berhubung isu perarakan Ahli Parlimen pembangkang ke bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu hadir di Ibu Pejabat Polis Dearah Kerian pada jam 10.30 pagi tadi.

“Pagi ini berada di IPD Daerah Kerian Bagan Serai untuk memberi keterangan,” katanya di Twitter.

Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata sehingga kini sudah 21 Ahli Parlimen pembangkang dirakamkan keterangan masing-masing.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah wan Ismail.

Pada 5 Ogos lalu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid turut dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk memberikan keterangan masing-masing.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Semalam dua pemimpin Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberikan keterangan kepada empat pegawai polis Bukit Aman di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP).

Pada 2 Ogos lalu, ahli Parlimen pembangkang cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun ia telah ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan Covid-19.

Kumpulan itu kemudian bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan polis.

Siasatan dijalankan mengikut kesalahan Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021(P.U.(A) 293.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736). – MalaysiaGazette