Petugas pasaraya menyembur cecair pembasmi kuman bagi mengekang penularan wabak COVID-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dilaksanakan mulai 25 Mei sehingga 7 Jun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di pasaraya ST Rosyam, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2021.

PETALING JAYA – Sektor peruncitan Malaysia kekal muram dengan sekurang-kurangnya 51,000 kedai telah dan akan ditutup disebabkan wabak COVID-19, malahan 70 hingga 80 peratus daripadanya dijangka menamatkan perniagaan secara kekal.

Perniagaan yang mengalami kesan paling teruk dan memerlukan masa pemulihan paling panjang adalah kedai berasaskan hiburan termasuk panggung wayang dan kedai permainan elektronik, taman tema dan taman permainan, bar dan pusat hiburan malam, kedai di hab pengangkutan seperti terminal bas dan lapangan terbang, serta kedai yang bergantung kepada pelancong.

Pusat membeli-belah utama dan besar turut mengalami tamparan hebat, manakala kesannya terhadap pusat membeli-belah bersaiz kecil adalah lebih sedikit.

Pengerusi Eksekutif Retail Group Malaysia (RGM), Tan Hai Hsin berkata, tekanan daripada kawalan penuh dan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 telah menyebabkan “trafik belian” di pusat beli-belah utama di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru menjunam sebanyak 95 peratus.

Beliau berkata, pusat beli-belah kecil yang menjual makanan dan barangan keperluan harian bagaimanapun berjaya mengekalkan trafik belian.

“Secara keseluruhannya, trafik belian di pusat beli-belah di Lembah Klang telah menurun 50 peratus dan perniagaan mereka banyak didukung oleh sewaan kedai makanan, pasar raya mini, kedai serbaneka, kedai kelengkapan telefon bimbit dan kedai peralatan logam dan perkakas,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, walaupun lapan negeri telah memasuki fasa baharu dalam Pelan Pemulihan Negara, tetapi ia tidak banyak membantu pemulihan sektor peruncitan.

Tegasnya, sebagai kawasan yang menyumbang 60 peratus jumlah hasil sektor peruncitan, pemulihan di Lembah Klang adalah sangat penting.

“Larangan rentas negeri telah menyebabkan pemulihan sektor peruncitan di Cameron Highlands dan Genting Highlands tergendala kerana kekurangan pelancong dari Lembah Klang,”katanya.

Menurutnya, sektor peruncitan yang bergantung kepada pelancong termasuk pusat membeli-belah di Melaka dan Johor Bahru yang menjadi tumpuan pelancong Singapura dijangka menerima tempias selama 18 bulan.

“Di Kuala Lumpur, destinasi seperti Jalan Petaling dan Central Market turut menerima kesan yang teruk,” katanya. – MalaysiaGazette