M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta segera menyiasat hingga ke peringkat akar umbi ke atas mana-mana pihak yang cuba memberi rasuah kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Identiti ‘tangan-tangan hitam’ yang melakukan kerja-kerja ini perlu didedahkan dan dikenakan tindakan undang-undang.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran menyifatkan tawaran politik ini adalah parah bagi sistem demokrasi negara.

Lantaran itu, SPRM perlu menyiasat dakwaan ini dengan segera.

“Saya ada alasan untuk mempercayai tawaran-tawaran yang dibuat untuk memikat ahli-ahli Parlimen untuk beralih sokongan kepada PN.

“Sudah tentu ada ‘tangan-tangan hitam’ di sebalik tawaran ini.

“Persoalannya siapa yang mengawal ‘tangan-tangan hitam’ ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam kenyataan itu, beliau turut memaklum telah dihubungi oleh SPRM Ipoh berhubung dakwaan tawaran wang, kedudukan menteri dan insentif tambahan bagi sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, tawaran itu diperoleh melalui mesej Whatsaapp melalui setiausaha peribadinya, Jeremy Chuah.

Kula Segaran berkata, Jeremy telah mendedahkan isi kandungan mesej berkenaan.

Oleh itu, Kula mahu SPRM untuk menyiasat secara terperinci isu ini.

Jika tidak, rasuah seumpama ini akan menyebabkan kerosakan teruk kepada negara dan sistemnya, ujar beliau.

Ini kerana, secara prinsipnya apabila rasuah menular dalam politik elemen-elemen demokratik akan lemah, pelabur asing keluar, tiada lagi bantuan asing, undang-undang akan dikompromikan, kepercayaan rakyat akan terhakis dan akibat buruk akan berlaku.

Pada masa ini, Kula Segaran mendakwa terdapat lima Ahli Parlimen DAP dan lima Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat telah dihubungi dengan tawaran berlimpah yang berjumlah jutaan ringgit.

Beliau juga tidak menolak ada tawaran serupa dibuat kepada ahli Parlimen lain tetapi ia tidak didedahkan.

”Tawaran rasuah adalah barah kepada negara dan ia mesti dihapuskan dengan segala kos,” katanya sambil mempersoalkan sama ada Kerajaan PN mempunyai kemahuan politik untuk mengatasi isu ini. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tindakan tegas pihak cuba rasuah MP pembangkang – Hamzah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast