KUALA LUMPUR – Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT) mempersoalkan tindakan polis melakukan penahanan ke atas seorang lelaki warga emas pada awal pagi kerana mengkritik Menteri Besar Kedah.
Badan bukan kerajaan ini menyifatkan tindakan ini tidak berperikemanusiaan serta di luar kewarasan kerana satu kesalahan politik seperti ini.
Lelaki berusia 61 tahun itu didakwa ditahan pada jam 3.57 pagi, 9 ogos lalu.
Setakat ini tiga individu sudah ditahan.
Menurutnya, penahanan ini jelas satu tindakan yang tidak wajar memandangkan perkara ini boleh dilakukan secara sivil tanpa menggunakan kuasa polis.
”Menteri Besar Kedah adalah manusia biasa seperti orang awam lain yang mana tindakan dan kelakuannya adalah layak dikritik.
”Tambahan pula, kritikan-kritikan tersebut berpunca daripada kata-kata dan tindakan menteri besar itu sendiri yang mempermainkan dan menghina orang awam yang terkesan dengan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini.
EDICT turut mempersoalkan mengapa tiada apa-apa tindakan diambil ke atas Menteri Besar Kedah berikutan kenyataannya yang mengguris hati ahli keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang akibat Covid-19.
EDICT menggesa pihak polis agar tidak mengambil tindakan di luar batasan dan jangan bersikap gelojoh dalam melaksanakan tugas.
Sedangkan, katanya, pihak polis seharusnya memberikan fokus kepada kes-kes jenayah yang sebenar yang memerlukan perhatian yang lebih penting dan bukannya melakukan intimidasi ke atas orang awam yang mengkritik salah laku pemimpin kerajaan.
Katanya, tindakan menyiasat pengkritik politik adalah satu pembaziran masa dan kos awam. – MalaysiaGazette