Suasana sesak warga asing beratur panjang untuk mendapatkan vaksin di Rumah Prihatin @Grand Seasons Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Polis bertindak pantas mengawal kebanjiran orang ramai  di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel Grand Season di ibu negara hari ini selepas suasana sesak itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, video berdurasi tujuh minit 15 saat itu menunjukkan orang ramai beratur dalam keadaan bersesak-sesak tanpa mematuhi SOP.

“Di dalam hal ini, polis Dang Wangi telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan pasukan pemantau pematuhan SOP ke pusat tersebut serta merta bagi mengawal keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan pematuhan juga telah membuat hebahan supaya orang ramai  membuat penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka sebagaimana SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pasukan pematuhan SOP kami juga berjaya mengawal keadaan di pusat tersebut sehingga program vaksinasi selesai .

“Justeru, pihak PDRM memohon kerjasama daripada orang ramai supaya terus mematuhi sop yang telah dikeluarkan oleh MKN.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlanggaran SOP boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. -MalaysiaGazette