KUALA LUMPUR – Akibat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebanyak 60 premis diarahkan tutup serta-merta dalam Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diadakan semalam.
Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, menerusi operasi itu, pasukan Task Force dengan kekuatan 1,844 anggota melaksanakan 89,183 pemeriksaan dan snap check ketika menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.
“Pemeriksaan membabitkan 1,620 kilang, premis perniagaan (16,873), tapak pembinaan (467) dan asrama penempatan pekerja (166).
“Daripada keseluruhan pemeriksaan, 60 premis diarahkan tutup serta merta ekoran kegagalan mematuhi SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi Operasi Pematuhan ke atas individu pula, Hishamuddin berkata, seramai 219 individu dikenakan kompaun kerana ingkar SOP manakala, 37 lagi direman untuk tindakan lanjut.
Katanya, tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) dan sembilan kenderaan darat dirampas, semalam.
“Dalam operasi sama, pihak berkuasa mengesan empat kapal dan bot serta empat kenderaan darat melalui aktiviti penglihatan, manakala sembilan kapal dan bot diusir melalui aktiviti pengusiran,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin menjelaskan, sebanyak 918 sekatan jalan raya (SJR) turut dilaksanakan di seluruh negara, semalam.
Mengenai kuaratin wajib, beliau berkata, seramai 690 individu direkodkan tiba di semua pintu masuk antarabangsa, semalam dan menjalani kuarantin wajib di 83 hotel serta 11 institut latihan awam dan institut pengajian swasta di seluruh negara.
Mengulas operasi disinfeksi Covid-19, Hishammuddin memberitahu, sebanyak 262 operasi dilakukan semalam meliputi 70 zon merah dan satu zon jingga.
“Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 687 pemantauan khas harian ke atas 10 jenis bekalan barangan keperluan asas terdiri daripada peruncit (493), pemborong (162) dan pengilang (32).
“KPDNHEP juga melakukan 3,681 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, semua premis mematuhi SOP.
“Pemantauan serta pemeriksaan di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi,” tambahnya. -MalaysiaGazette
Hari ni tutup takpe, esok buka balik. Begitu juga hantar pati pulang cuti, nanti pati masuk balik ikut lorong tikus, kan?