KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus mengeluarkan perancangan terperinci kepada umum meliputi garis panduan, kayu ukur yang membolehkan sekolah dibuka secara bertahap serta perancangan masa depan pendidikan negara pasca Covid-19.
Dalam situasi angka harian Covid-19 berserta angka kematian yang semakin membimbangkan adalah menjadi tanggungjawab pihak KPM untuk bersedia dengan perancangan rapi terutama bagi mendapat kepercayaan ibu bapa dan guru sebelum sesi persekolahan dibuka.,
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, KPM perlu mengambil contoh amalan di negara luar yang menjadikan beberapa petunjuk sebagai kayu ukur antaranya termasuklah kadar vaksinasi, jumlah kes kematian dan jangkitan harian, statistik penggunaan katil hospital, serta kajian tentang kehadiran varian baharu sebelum sesuatu negara mengambil keputusan untuk melonggarkan sebarang kawalan.
Di samping itu, pihak KPM harus memastikan seluruh warga sekolah termasuk pengusaha kantin, pemandu bas dan ekosistem persekolahan diberikan keutamaan dan dipastikan mendapat dua dos penuh vaksin.
Dalam pada itu, memandangkan Malaysia telah menutup sekolah (secara bersemuka) melebihi 35 minggu pada tahun 2020 dan mencecah lebih 20 minggu setakat ini untuk tahun 2021.
Sudah itu keadaan ini telah memberi kesan besar kepada perjalanan pembelajaran anak murid.
Oleh itu, ABIM berpendapat terdapat keperluan untuk pihak KPM menyediakan satu perancangan dan dasar untuk pendidikan kebangsaan pasca Covid-19. – MalaysiaGazette