Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abdul Latif Ahmad menyerahkan surat pengecualian dan diskaun sewaan premis kepada Pengarah Urusan My Delicacies, Suhaily Hamzah (kanan) pada Program Mara Bantuan Usahawan Inisiatif Tambahan PEMULIH di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Pengecualian bayaran sewa premis perniagaan milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga tiga bulan sejak Julai hingga September tahun ini dijangka dapat membantu peniaga untuk bangkit semula selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurut Pengurus Anis Sup Utara, Muhammad Ismail Hasanuddin, pengecualian sewa itu dilihat sebagai satu penjimatan kos operasi restorannya, sekali gus membantu untuk merancakkan perniagaan yang terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pengarah Urusan My Delicacies, Suhaily Hamzah menunjukkan serunding yang dijual di gerainya yang terletak di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2021.

“Bila ada pengecualian ini, Alhamdulillah kita sangat bersyukur dan ia sangat membantu.

“Sejak PKP 2.0 pun kita agak terkesan dari awal malah jualan kita jatuh lebih 50 peratus.

“Diharapkan dengan pengecualian sewa ini dapat membantu kami untuk terus maju kehadapan,” katanya kepada MalaysiaGazette di premisnya di MARA Digital, hari ini.

Pengarah Urusan My Delicacies, Suhaily Hamzah menunjukkan produk jualannya di Mara Digital Mall, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2020

Bagi Pengarah Urusan Suri Delicacies Solution, Suhaily Hamzah pula, inisiatif kerajaan itu disifatkannya sebagai satu sokongan kepada usahawan-usahawan tempatan.

“Kami sangat bersyukur kerana dapat pengurangan tiga bulan dan kita dapat pengurangan 30 peratus untuk sampai hujung tahun.

“Ia sangat membantu kami yang ingin bangkit dengan lebih kuat kerana bila berlaku gelombang kedua kami terus terduduk,” katanya.

Muhammad Syahir Aris

Sementara itu, menurut seorang usahawan pembinaan, Muhammad Syahir Aris, 30, pembiayaan perniagaan MARA yang diterima hari ini mampu memulihkan perniagaannya yang terhenti sejak sekian lama.

“Dengan bantuan MARA ini, jumlah itu banyak dan ianya sangat membantu saya dalam memulihkan kembali perniagaan saya.

“Dengan pembiayaan MARA ini, pemasangan saya yang tergendala sebelum ini, boleh berjalan semula dan mula kembali kerja-kerja perniagaan saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast