Ayob Khan menunjukkan rampasan dadah yang dipercayai ingin diseludup ke negara jiran.

JOHOR BAHRU – Polis Johor melumpuhkan dua sindiket pengedaran dadah di negeri itu selepas melakukan dua serbuan berasingan di Batu Pahat dan Seri Alam di sini pada awal bulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi kes pertama, tiga serbuan berasingan dilakukan di Batu Pahat dengan rampasan dadah jenis syabu seberat 29.48 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan RM1.6 juta.

“Dalam serbuan pertama satu lelaki tempatan berusia 43 tahun telah ditangkap bersama sejumlah rampasan dadah jenis syabu.

“Hasil saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis morphine manakala hasil semakan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Susulan daripada serbuan itu, polis telah melakukan serbuan berasingan dan berjaya menahan tiga lagi suspek, termasuk sepasang suami isteri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada hari ini.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah.

Jelasnya, semakan rekod lampau juga mendapati keempat-empat suspek yang mula bergiat dalam jenayah itu sejak bulan lepas mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Dalam serbuan ini, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM30,210. Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengambil bekalan dadah dari Pendang, Kedah untuk pasaran negara jiran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi serbuan di Seri Alam pada 3 Ogos lalu, pihaknya merampas 5.21 kg syabu bernilai RM187,848.

Menurut beliau, dalam serbuan tersebut pihaknya berjaya menahan seramai tiga suspek lelaki berusia 29 hingga 40 tahun.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine selain turut memiliki rekod lampau bersabit penyalahgunaan dadah dan jenayah.

“Sindiket yang telah beroperasi sejak awal tahun ini itu memasarkan bekalan dadah mereka untuk pasaran tempatan sekitar bandar raya ini,” katanya.

Beliau memberitahu, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas empat buah kenderaan, wang tunai RM4,810, pelbagai barangan kemas dan akaun bank bernilai RM100,000.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi kedua-dua kes adalah RM1.789 juta manakala bekalan dadah berkenaan boleh digunakan seramai 173,450 penagih.

“Kesemua suspek dikenakan tahanan reman manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- MalaysiaGazette