Petugas kesihatan memasukkan ubat menggunakan jarum semasa merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sistem kesihatan Malaysia masih mampu bertahan walapun dalam keadaan tertekan dan menghadapi kekangan dengan pertambahan kes jangkitan Covid-19.

Profesor Kesihatan Awam di Management & Science University (MSU), Profesor Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, situasi di Malaysia masih berada di tahap terkawal dan tidak kritikal seperti Amerika Syarikat, India, mahupun Indonesia.

Ini kerana Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang digerakkan kerajaan kian rancak, sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan virus di kalangan orang ramai pada tahap kritikal.

”Oleh itu sangat penting vaksinasi dan tindakan kesihatan awam bagi menurunkan bilangan kes.

”Apabila bilangan kes harian meningkat, maka bilangan yang berada dalam kategori 3,4,5 dan kematian juga meningkat namun dari segi peratusan, ia masih rendah.

”Misalnya peratusan kematian di dunia ialah 2.11 peratus lebih tinggi berbanding peratusan kematian di Malaysia 0.86 peratus sahaja.

”Manakala jumlah kes pula, sebanyak 98.1 peratus pesakit Covid-19 bagi kes kategori satu dan kategori tiga hingga lima adalah sebanyak 1.9 peratus,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dr Rohaizat Yon

Beliau yang juga mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (KKM) mengingatkan rakyat Malaysia agar jangan sesekali mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) walaupun kelonggaran bagi aktiviti sosial telah diberikan kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin terutama di negeri yang berada di Fasa 2 dan 3.

Ini kerana Malaysia masih belum mencapai imuniti kelompok, ditambah pula virus Covid-19 masih menular dalam kalangan komuniti.

“Apabila keluar rumah, penjarakan fizikal satu meter mesti dijaga, pakai pelitup muka berganda dan jika perlu bersekali ‘face shield‘ serta kerap cuci tangan dengan membawa cecair pembasi kuman (hand sanitizer) kecil di dalam saku.

Selain itu, mereka yang telah lengkap vaksin juga masih boleh dijangkiti Covid-19 dan menyebarkan virus itu pada individu yang belum menerima vaksin seperti kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun yang kini menjadi golongan rentan,” tambahnya.

Memandangkan kewujudan varian-varian baharu seperti Delta Plus dan Lambdha, orang ramai sekali yang belum menerima vaksin diminta mengambil vaksinasi bagi melindungi diri daripada mengalami gejala yang teruk atau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Berhubung pengumuman kelonggaran pergerakan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, beliau berkata, keputusan kelonggaran pada 8 Ogos lalu bukanlah daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja sebaliknya ia adalah hasil perbincangan berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pematuhan dan pemantauan SOP untuk PPN terhadap kelonggaran itu dibuat bersama Majlis Keselamatan Negara dan turut serta penglibatan pihak swasta serta pakar dari pelbagai sektor dan bidang. – MalaysiaGazette