KUALA LUMPUR – Lima bulan dikuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) demi menjalani latihan persediaan ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 merupakan cabaran paling getir perlu dihadapi oleh calon lontar peluru F20, Muhammad Ziyad Zolkefli.
Beliau mengakui, dua bulan pertama merupakan tempoh masa yang sukar baginya apabila tidak dapat berjumpa dengan isteri, anak juga keluarga.
Namun, Ziyad berkata, fokusnya mula kembali untuk menjalani latihan pada bulan ketiga berada di MSN.
“Mental kacau dua bulan sebab tidak dapat jumpa keluarga masuk bulan ketiga mulai dapat fokus. Kali ini latihan sangat keras untuk mencapai misi saya tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ketika sembang santai bersama Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan merangkap Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman menerusi dalam talian hari ini.
Tambah Ziyad, usahanya menjalani latihan untuk berdepan Olimpik kali ini adalah yang paling sukar berbanding sebelum ini, demi mencapai misinya memecahkan rekod yang telah dicapai sebelum ini.
Bahkan, beliau mendedahkan mahu mencapai rekod yang tidak akan dapat disaingi kali ini.
Selain memberikan 110 usaha kali ini, beliau turut memaklumkan bakal memberikan kejutan pada hari pertandingan kelak.
“Apa saya mahu, saya mahu pecahkan rekod dunia saya, saya mahu rekod saya tidak dapat dicapai orang lain. Insya-Allah kalau ada rezeki masa pertandingan, saya akan buat satu kejutan,” tambahnya.
Untuk rekod, pada Sukan Paralimpik Rio, Brazil 2016 lalu, Ziyad berjaya mencipta rekod dunia dan memungut pingat emas.
Sementara itu, seorang lagi atlet Paralimpik Olimpik untuk acara berbasikal, Muhammad Hafiz Jamali berkata, Datuk Azizulhasni Awang merupakan contoh yang sering dirujuknya sebagai persediaan.
Ujarnya, antara tips yang diterimanya adalah belajar menghadapi tekanan yang pelbagai sebelum memasuki pertandingan.-MalaysiaGazette