Wang tunai RM21,000 yang digunakan oleh wanita cuba menyogok polis untuk menyelamatkan tunang lelakinya yang ditahan bersama dadah di Jalan Ipoh semalam.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita tempatan yang cuba menyogok wang kepada polis sebagai tindakan untuk melepaskan tunangnya yang ditahan kerana menyimpan dadah jenis heroin dan THC membawa padah.

Wanita berusia 22 tahun yang merupakan tunang kepada suspek lelaki berusia 24 tahun itu dicekup polis akibat tindakannya yang cuba memujuk polis dengan wang RM21,000 sebagai rasuah walaupun dia sudah diberi amaran menghentikan perbuatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat, pada jam 5.30 petang semalam, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sentul diketuai Inspektor Liaw Ken Yeh telah menahan sorang lelaki warga tempatan ang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di sebuah perumahan Jalan 1/2B off Jalan Ipoh.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dibawa suspek, polis telah berjaya merampas 13 paket plastik berisi dadah disyaki jenis methaphetamine seberat 168 gram dan tiga lagi plastik berisi dadah disyaki heroin seberat 2.92 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah tetrahydrocannabinol (THC) dan memiliki satu rekod kesalahan jenayah dadah.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 Ogos ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan kejayaan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, nilai dadah yang dirampas daripada suspek berkenaan dianggarkan berjumlah RM16,968.20.

Dadah jenis ganja dan heroin yang dirampas dari lelaki berusia 24 tahun di dalam kereta Myvi yang dipandunya di Jalan Ipoh semalam.

Katanya, tunang lelaki itu ditahan sekitar jam 12.30 tengah malam tadi di IPD Sentul.

Wanita itu ditahan cuba menawarkan wang tunai RM21,000 kepada dua anggota polis sebagai sogokan agar melepaskan suspek.

“Tangkapan dan barang kes diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Eng Lai pada masa yang sama menasihati orang ramai supaya tidak sesekali cuba memberikan ruasuah atau sogokan kepada anggota polis yang menjalankan tugas kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

“Saya juga sangat bangga dengan kedua-dua pegawai saya yang menolak sogokan wanita berkenaan demi menegakkan tugas dan integriti kepolisan.

“Saya yakin ia akan dapat mengembalikan semula kepercayaan masyarakat terhadap tugas dan komitmen polis yang serius membanteras jenayah dan menjaga ketenteraman awam,” kata beliau. – MalaysiaGazette