Sindiket dadah menggunakan khidmat kurier untuk menyiman dan mengedar dadah tumpas dengan tertangkapnya tiga suspek termasuk penghantar kurier dalam tiga serbuan berbeza pada 11 Ogos lalu di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Tindakan menggunakan khidmat penghantaran kurier sebagai taktik untuk menyembunyikan dan mengedar dadah terbongkar.

Berikutan pembongkaran itu, polis berjaya menahan tiga suspek tempatan yang dipercayai dalang kegiatan terlarang di sisi undang-undang itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya pada 11 Ogos lalu telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan di sebuah syarikat penghantaran di Cheras kerana disyaki penghantaran kiriman kurier itu berisi bahan disyaki dadah.

Hasil semakan mendapati kotak kurier kiriman yang dihantar suspek pertama itu mendapati mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine anggaran seberat 2.316 kilogram.

“Pada hari yang sama pukul 2.30 petang dengan dipandu arah oleh suspek pertama, pasukan polis berjaya menangkap suspek kedua juga seorang lelaki tempatan di sebuah kondominium di kawasan Kajang, Selangor.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek kedua telah menjumpai kunci dan kad akses untuk ke salah satu unit kondominium berkenaan.

“Seterusnya dengan dipandu arah oleh suspek kedua, pasukan serbuan telah menahan seorang lagi lelaki tempatan iaitu suspek ketiga di unit kondominium berkenaan sebelum hasil pemeriksaan di rumah itu berjaya menjumpai beberapa dokumen kiriman kurier,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Idzam, pada hari yang sama pukul 4 petang, dengan dipandu arah oleh suspek pertama, pasukannyaa menyerbu sebuah pangsapuri di kawasan Wangsa Maju dan masuk ke unit rumah pangsapuri berkenaan dengan menggunakan kunci rumah yang dirampas daripada suspek pertama.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam unit itu berjaya menjumpai dadah jenis methamphetamine seberat 6.90 gram, dadah jenis ketamin seberat 7.88 gram, dadah jenis heroin anggaran berat 2.36 gram dan Erimin 5 seberat 4.42 gram.

“Siasatan lanjut polis mendapati suspek pertama dan kedua merupakan seorang duda yang masing-masing berumur 44 tahun dan 59 tahun manakala suspek ketiga masih bujang dan berumur 26 tahun manakala kesemua suspek merupakan penganggur.

“Suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah narkotik dan satu rekod jenayah manakala suspek kedua dan ketiga tiada memiliki sebarang rekod kesalahan lampau.

“Hasil ujian saringan awal urin suspek pertama didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan morfin manakala suspek kedua didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine sementara suspek ketiga pula negatif sebarang jenis dadah.

“Dalam kes ini jumlah rampasan dadah ini dianggarkan mampu dibekalkan kepada 5, 000 orang penagih dadah di sekitar Kuala Lumpur dengan nilai rampasan sebanyak RM85,000.

“Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mendapatkan maklumat punca bekalan dan penglibatan pengedaran yang dijalankan,” ujarnya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek pertama dibenarkan direman di bawah Seksyen 117 KPJ selama tujuh hari sehingga 18 Ogos 2021 manakala suspek kedua dan ketiga dibenarkan direman selama dua hari bermula 12 hingga 13 Ogos 2021 untuk melengkapkan siasatan.

“Orang awam disarankan agar sentiasa berwaspada dalam urusan penghantaran kiriman dan juga dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berjalan sekarang,” tegasnya.-MalaysiaGazette