KUALA LUMPUR – Terlalu awal untuk menentukan siapa bakal mengambil alih tanggungjawab sebagai Perdana Menteri sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin letak jawatan.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, perkara itu perlu diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan proses Parlimen menentukannya.
“Semua pihak harus fokus untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu yang sedang merosakkan keseluruhan institusi negara kita yang tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang akan menyokong Muhyiddin pada proses undi percaya di Parlimen pada September ini.
“Kenyataan ini dapat menepis pembohongan yang sedang diuar-uarkan oleh Muhyiddin bersama kuncu-kuncunya yang menyatakan 20 ahli Parlimen PH bakal menyokong kerajaan PN tanpa syarat,” ujarnya.
Menurut Khairudin, rakyat sudah tidak boleh tolak ansur dengan sikap pemimpin-pemimpin politik untuk berebut kuasa.
“Selepas melalui proses Istana Negara dan Dewan Rakyat untuk memilih calon Perdana Menteri, pada waktu itu sesiapa saja terpilih, semua pihak kena akur serta menghormati keputusan tersebut dengan hati terbuka,” katanya.
Tambahnya, amat mustahil untuk Anwar menjadi Perdana Menteri khususnya tanpa sokongan blok bebas yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Hakikatnya, Anwar sudah tidak relevan lagi. Anwar tidak boleh bekerja tapi beliau hanya pandai bercakap semata-mata.
“Lihat saja setiap keputusan yang dibuat oleh Anwar pada tahun 1997 ketika negara sedang mengalami krisis mata wang dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Kalau anwar tak layak lantik saja khairudin sebagai pm interim. Tak jadi wakil rakyat pun tak apa janji boleh buat kerja.