KUANTAN – Susulan beberapa tawaran bagi mengukuhkan kedudukan politik tanah air dalam perutusan Perdana Menteri semalam, satu laporan polis dibuat terhadap tawaran yang didakwa menjurus kepada sogokan.

Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Zukarmi Abu Bakar berkata, tindakan tersebut dilihat seperti menuding kepada diri sendiri apabila membuat tawaran berbentuk rasuah kepada ahli-ahli Parlimen barisan pembangkang.

Berikutan itu, katanya, UMNO Bahagian Jerantut hari ini membuat laporan polis terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa membuat tawaran-tawaran berbentuk rasuah kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkannya kekal sebagai Perdana Menteri.

“Laporan dibuat berdasarkan kita melihat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, melalui secara langsung semalam, kita dapati bahawa kerajaan sekarang dalam keadaan tidak stabil,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perutusan khas petang semalam, Muhyiddin mencadangkan tujuh tawaran kepada pembangkang untuk memperoleh sokongan terhadap keabsahannya selaku Perdana Menteri.

Ia termasuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU15) selewat-lewatnya Julai tahun depan, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen serta melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi.

Tawaran itu dibuat Muhyiddin bagi memperoleh sokongan untuk memenangi undi percaya terhadapnya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat 6 September ini.

Menurut Zukarmi, sogokan atau rasuah berlaku apabila satu pihak berjanji dengan tawaran menarik yang boleh mengubah sesuatu keputusan yang telah dibuat.

“Contohnya, dari segi peruntukan, ketua pembangkang diberi setaraf Menteri Kanan, ini bagi saya jadi bentuk tawaran atau gula-gula yang boleh mengubah keputusan.

“Contohnya kalau dulu ahli Parlimen tidak menyokong PM, tapi dengan tawaran ini mungkin mengubah fikiran disebabkan tawaran itu merupakan satu cara rasuah sehingga boleh mengubah keputusan, ujarnya. – MalaysiaGazette