Chan San San

JOHOR BAHRU – Seramai 29 daripada 50 penghuni warga emas di Pusat Penjagaan Kejururawatan di Plentong dekat sini, dihantar ke Hospital Mersing semalam kerana didapati positif Covid-19, yang difahamkan berpunca daripada salah seorang pekerja di pusat penjagaan berkenaan.

Tinjauan Malaysia Gazette di pusat penjagaan  warga emas di premis tiga tingkat itu mendapati pusat berkenaan bukan sahaja masih beroperasi, malah dimaklumkan tidak mempunyai lesen yang sah.

Semalam tular sebuah video lebih 10 ambulans keluar dari pusat jagaan rumah warga emas di situ.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Chan San San berkata, salah seorang keluarga yang menempatkan warga emas di pusat tersebut telah memberitahunya pihak pengurusan itu meminta mereka mengambil ibu bapa masing-masing.

Sejurus menerima arahan berkenaan, beliau mengambil tindakan segera dengan bantuan pihak berkuasa

“Pada 12 Ogos saya mendapat aduan daripada keluarga penghuni di sini bahawa pengurus pusat jagaan minta ahli keluarga bawa balik penghuni dari pusat ini.

“Saya banyak terima aduan mereka yang tidak ada tempat sesuai untuk menempatkan penghuni di sini.

“Saya sampai di sini lebih kurang petang dan saya terus hubungi tok penghulu untuk tindakan selanjutnya dan mengikut penghulu dia minta kita menahan penghuni daripada keluar dari jagaan menyebabkan kita terpaksa minta bantuan polis.

“Penghuni di sini tidak dapat dimasukan ke hospital di Johor Bahru kerana sudah penuh, jadi KKM mengambil keputusan mereka yang disahkan positif dihantar ke hospital Mesring,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau turut menasihatkan pusat jagaan di negeri ini agar lebih bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang keraguan melibatkan kes Covid-19.-

San San memberitahu, pihaknya juga secara sukarela menghantar ubat-ubatan di Hospital Mersing yang dikirim ahli keluarga mereka.

“Dari sini untuk ke Mersing memang jauh, jadi saya simpati dan mengambil inisiatif membantu keluarga terlibat untuk menghantar barang-barang seperti ubat untuk ayah dan ibu mereka.

“Selain itu,kita turut menerima sumbangan daripada MCA Pasir Gudang berbentuk ubatan, makanan termasuk lampin pakai buang.

“Tidak cukup dengan itu,saya tubuhkan satu grup Whatsapp bersama ahli keluarga terlibat supaya saya dapat sampaikan maklumat terus kepada semua,” katanya.-MalaysiaGazette