Kerja-kerja penggalian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Perasmian “ECRL 1st Tunnel Construction Breakthough” di Paka, Dungun, Terengganu. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2021.

 

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menggunakan tiga buah kem induk ECRL di negeri-negeri Pantai Timur sebagai Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) untuk memberi suntikan vaksin secara eksklusif kepada lebih kurang 6,500 kakitangan dan pekerja tapak binaan dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 dalam sektor pembinaan dan pengangkutan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata, kem-kem induk ECRL di Dungun dan Chukai, Terengganu serta Maran, Pahang akan beroperasi sebagai PPVIN selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam memastikan sektor ekonomi kembali pulih menjelang hujung tahun ini.

Menurut beliau, MRL bersama-sama dengan kontraktor utama projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan menanggung semua kos proses vaksinasi bagi pekerja-pekerja ECRL termasuk caj penyediaan PPVIN dan yuran pentadbiran kepada pengamal am perubatan swasta dan pegawai-pegawai perubatan terlibat.

Proses vaksinasi dijadualkan akan dilaksanakan di Kem Induk ECRL Dungun pada 16 hingg 18 Ogos 2021 dan di Kem Induk ECRL Chukai pada 16 hingg 17 Ogos 2021.

Sementara itu, proses vaksinasi untuk pekerja-pekerja ECRL di Kem Induk ECRL Maran akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

”MRL dan CCC-ECRL sedar akan pentingnya bagi semua kakitangan projek ECRL mendapat imunisasi secepat mungkin kerana ianya akan memberi impak yang positif terhadap kerja-kerja pembinaan yang kini bertumpu di 164 lokasi utama termasuk pengorekan 10 buah terowong.

”Bilangan lokasi utama ini dijangka meningkat kepada 338 lokasi termasuk pengorekan 27 buah terowong apabila pembinaan ECRL mencapai kemuncak pada tahun 2022,” katanya.

Projek ECRL akan menjadikan vaksinasi Covid-19 sebagai perkara wajib untuk seluruh tenaga kerjanya dan sebagai pra-syarat bagi pekerja baru yang bekerja dibawah projek ini pada masa akan datang.

Usaha ini adalah selari dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mensasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini untuk mendapat vaksinasi lengkap menjelang akhir bulan Oktober 2021. – MalaysiaGazette