SEBERANG PERAI – Pulau Pinang telah mencapai 70 peratus suntikan vaksin dos pertama bagi populasi dewasa setakat hari ini, di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, baki 30 peratus lagi suntikan dos pertama dianggarkan selesai sepenuh menjelang awal September nanti.
“Suntikan dos pertama sudah selesai 70 peratus setakat ini manakala suntikan dos kedua pula, kita telah mencapai 36 peratus dan dijangka mencecah 40 peratus pada minggu depan.
“Kerajaan Negeri akan pastikan program PICK ini berjalan dengan lancar agar rakyat di negeri ini dapat perlindungan segera.
“Ini susulan, kes jangkitan di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan dan mengikut Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), jumlah ini akan berlanjutan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi,” katanya selepas meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keng Koon, Bukit Tambun di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tambun, Goh Choon Aik.
Mengulas mengenai program PPV bergerak, Kon Yeow berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memastikan golongan sasaran diberi suntikan vaksin secepat mungkin.
Difahamkan, seramai 300 orang yang berusia 50 tahun ke atas, ibu dan bapa tunggal serta golongan orang kelainan upaya akan menerima suntikan dekat PPV di bawah program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) tersebut. – MalaysiaGazette