Gambar hiasan

DALAM diri sesetengah kita mungkin selalu berfikir bahawa sepanjang umur ini menjadi rakyat dan pemimpin, sepanjang hayat kita jualah akan belajar dan mempraktis ilmu kerakyatan serta kepemimpinan. Begitu juga, terdapat satu perkara yang acap kali dalam kalangan rakyat marhain dan mereka yang lalai selalu terlepas pandang.

Yang terserlah di benak pemikiran bahawa kepemimpinan dan kepimpinan hanya diletakkan serratus-peratus di atas bahu pemimpin semata-mata. Adakah dilupakan atau dilalaikan (secara sengaja?) ujian daripada Allah SWT akan kelemahan pentadbiran dan kepimpinan teraju pemimpin itu? Begitu jua dilupakan dan dilalaikan juga peranan rakyat atau masyarakat untuk menjadi ahli pimpinan yang baik?

Jika ditadabbur surah al-Nisa’, ayat 58 – 59, jelas disuluh mengenai perkara ini oleh Allah SWT. Kepemimpinan bukan sahaja berkisarkan keperibadian, sikap, kemahiran dan kebolehan pemimpin sahaja. Malah, perkara ini turut terkait dengan keperibadian, sikap, kemahiran dan kebolehan pengikut atau ahli pimpinannya juga.

Bayangkan negara ini, organisasi kita, atau kampung kita seperti sebuah keluarga yang dipimpin oleh ibu dan bapa. Pengikut atau pimpinannya pula adalah anak-anak dan cucu-cicit dalam keluarga.

Jika anak-anak dan cucu-cicit hanya bijak mengomel, mengkritik, menderhaka dan tidak menyumbang apa-apa kepada kemakmuran serta kebahagiaan keluarga, bagaimana kesejahteraan dapat subur? Jika pimpinan hanya suka menunukkan kebobrokan, kelemahan dan kepincangan pemimpin semata-mata tanpa sama-sama meraih peranan dan menghukurkan tangan memperbetulkan keadaan, bukankah ini serupa dengan bidalan masyhur ‘satu jari menuding kesalahan orang, empat jari berbalik kepada kelemahan sendiri’?

Kepimpinan ini bermula daripada self-leadership, dengan mengetahui, memahami dan melaksanakan tanggungjawab diri untuk kebaikan bersama dan faedahnya diraih oleh segenap ahli masyarakat.  Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 58-59, yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. 

Antara inti pati pengajaran ayat al-Quran ini adalah perintah untuk taat kepada pemimpin dalam kalangan manusia, selagi ketaatan kepada para pemimpin adalah dengan teraju kepimpinan dan keputusannya yang tidak bertentangan dengan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Menurut Ibnu Abbas, Hasan Al Basri, dan Abdul Aliyah, ulil amri adalah para ulama. Menurut Ibnu Katsir pula, ulil amri itu bersifat umum, tidak kira mereka adalah pemerintah maupun ulama. Sedangkan menurut Syaikh Wahbah Az Zuhaili dalam Tafsir Munir, maksud ulil amri itu adalah merujuk kepada pemimpin dan para ulama.

Apa yang jelasnya, ketaatan kepada ulil amri harus dibina dan dibugarkan berdasarkan ketaatan kepada Allah SWT dan Nabi SAW. Tidak boleh dalam perkara maksiat dan kemungkaran. Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam perkara-perkara kebaikan” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Pernah suatu ketika rakyat Saidina Ali Karamallahu Wajhah bertanya: Wahai Amirul Mukminin, kenapa zaman kamu tidak seperti mana zaman Umar R.A., di mana rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai penuh ketaatan kepada Allah SWT?” Jawab Saidina Ali: “Zaman Umar, rakyatnya adalah seperti aku. Sedangkan zaman aku, rakyatnya seperti kamu.”

Begitu juga sirah yang menunjukkan naratif yang sama berkenaan tanggungjawab pengikut atau masyarakat kepada pemimpin, iaitu apabila rakyat umum mengkritik pemerintahan Dinasti Muawiyyah suatu ketika dahulu. Ada yang meriwayatkan pernyataan Mua’wiyah sebagai berikut: “Jika kalian merindukan kepemimpinan seperti yang dijalankan Abu Bakar R.A. dan Umar R.A., maka sekarang kalian juga harus hidup mengikuti kaedah dan tatacara kehidupan sahabat di masa kedua-dua khalifah itu!“. Maka apa yang boleh diserlahkan daripada pemahaman naratif sirah ini adalah satu fakta yang tidak boleh disanggah: pemimpin yang baik lahir dari rakyat yang baik jua adanya. Sebaliknya pemimpin yang buruk muncul dari keadaan rakyat yang buruk pula. Soalan yang elok untuk kita tanya sebagai muhasabah diri sekarang, adakah kita merasa sudah menjadi rakyat yang baik atau belum?

Mengambil sedutan daripada perkongsian di Bayan Linnas Siri ke 209, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hubungan rakyat dengan pemerintah adalah hubungan dua hala. Kewajipan pemerintah ke atas rakyat adalah berlaku adil ke atas mereka dan memelihara hak-hak mereka, manakala rakyat pula wajib memberikan kerjasama yang baik dalam sama-sama membangunkan negara dengan mentaati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Semoga Allah SWT melindungi Malaysia dan dunia kita daripada kerosakan, kehancuran dan segala bentuk fasad siasah dan kepimpinan. Semoga dilindungi jua sesuatu yang merosakkan aspek pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi, masyarakat dan agama. Allahumma amin.

Oleh: Dr Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali,
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa),
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia 

 & 

Dr Khairunneezam Mohd Noor,
Penyelaras Program Pengurusan dan Pelancongan,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia