Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semasa hadir pada mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Publika, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini mengadakan mesyuarat khas dengan Ahli-ahli Parlimen yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di Publika.

Beliau yang tiba jam 9.15 pagi tadi terus mempengerusikan mesyuarat itu.

Antara yang hadir adalah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Turut kelihatan adalah Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon semasa hadir pada mesyuarat khas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Publika, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2021.

Bagaimanapun, tidak kelihatan ahli-ahli Parlimen daripada gabungan Barisan Nasional (BN) hadir mesyuarat khas yang dipengerusikan Muhyiddin pagi ini.

Mesyuarat khas itu bagi membincangkan isu kehilangan majoriti Muhyiddin.

Untuk rekod, Muhyiddin dijangka membuat satu pemakluman penting berkaitan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan kerajaan PN pimpinannya pada Isnin ini.

Ia selepas beliau selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. – MalaysiaGazette