KUALA LUMPUR – Nilai Eksport Produk Agrikomoditi Bagi Suku Kedua Tahun 2021 melonjak sebanyak 65 peratus kepada RM105 bilion berbanding nilai dalam tempoh sama 2020 iaitu hanya RM64 bilion.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sehingga Jun lalu, produk berasaskan sawit adalah penyumbang terbesar iaitu 43 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion.
Jelas beliau, nilai yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya pula adalah RM33 bilion, tetapi kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan lima peratus kepada 11.5 juta tan.
“Pandemik Covid-19 terus memberikan kesan kepada pengeluaran eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia, malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia.
“Melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Program Pemulihan Negara (PPN) secara berjadual sepanjang enam bulan ini telah memberikan kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan agrikomoditi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Majlis Getah Malaysia (MRC) kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid (PKRC) di MAEPS, Serdang, dekat sini, hari ini.
Menurut Dr. Mohd Khairuddin, Malaysia masih berhadapan masalah kekurangan pekerja di ladang sawit.
Bagaimanapun, katanya, berikutan prestasi memberansangkan itu, kementeriannya yakin sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion tahun ini mampu dicapai.
Jelas beliau, bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 42 peratus kepada keseluruhan nilai eksport barangan agrikomoditi berkenaan telah meningkat mendadak 150 peratus kepada RM44 bilion daripada RM17.77 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
“Berikutan pandemik Covid-19, nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain melonjak sebanyak 200 peratus kepada RM37 bilion berbanding RM12 bilion dalam tempoh sama pada tahun 2020.
“Sarung tangan getah yang kebanyakannya untuk kegunaan perubatan, mencatat pertumbuhan melebihi tiga kali ganda atau 210 peratus kepada RM37 bilion berbanding RM12 bilion pada separuh pertama 2020.
“Dalam pada itu, produk berasaskan kayu kayan telah menyumbang 11 peratus kepada eksport barangan agrikomoditi,” katanya.
Beliau berkata, nilai eksportnya telah meningkat 21 peratus kepada RM12 bilion berbanding RM10 bilion pada tempoh sama tahun 2020.
Pada masa sama, ujar Dr. Mohd Khairuddin, eksport produk koko turut mencatatkan kenaikan sebanyak tujuh peratus kepada RM3.4 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu RM3.1 bilion.
Senario itu, turut membabitkan produk lada yang meningkat 19.24 peratus kepada RM62 juta berbanding RM52 juta pada tempoh sama 2020.
“Berdasarkan prestasi berkenaan, kementerian saya yakin prestasi eksport agrikomoditi akan mencatatkan pertumbuhan dan nilai yang lebih baik berbanding tahun 2020,” katanya. – MalaysiaGazette