KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini tiada ada bukti-bukti yang menunjukkan pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan wanita mengandung boleh mengakibatkan kecacatan kepada bayi atau memberi risiko kepada ibu.
Sebaliknya, data-data kesihatan dan perubatan menunjukkan pengambilan vaksin dalam kalangan ibu mengandung sangat memberangsangkan.
Bahkan, kesan sampingan yang dialami oleh ibu yang hamil juga adalah sama seperti mereka yang tidak mengandung dan dalam kategori kumpulan berisiko rendah, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Murad Zainuddin.
Lantaran itu, para suami perlu memberi sokongan dan menggesa ibu hamil mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bagi perlindungan awal keselamatan pada ibu dan bayi dalam kandungan daripada mengalami simptom Covid-19 yang lebih berbahaya.
Jelasnya, tindakan suami yang melarang isterinya yang hamil mendapatkan vaksinasi perlu dihakis demi keselamatan kedua-duanya – bayi dan ibu.
“Jika suami kata tidak, maka andalah yang perlu tanggung dosa isteri itu kalau terjadi apa-apa sebab tidak mengambil vaksin. Namun, kalau kita sudah melakukannya dan situasi itu yang tidak diingin masih berlaku maka kita kena redha,” katanya.
Ahmad Murad berkata, para suami perlu memainkan peranan untuk memastikan isteri yang hamil menerima vaksin malah keluarga juga perlu sama memberi sokongan dan rangsangan.
”Keutamaan bagi saya pada ketika ini adalah nyawa ibu yang perlu diambil berat dan dijaga terlebih dahulu. Sehingga kini kajian tempoh dua tahun ini belum timbul masalah keguguran.
”Sebelum kes Covid-19 menular memang kita tidak boleh jamin kandungan boleh terselamat daripada masalah lain, ibu masih boleh dapat keguguran dan masih boleh dapat bayi abnormal. Ini menyebabkan ada sesetengah waita hamil bimbang namun peratusannya kecil sahaja.
”Tetapi data-data menunjukkan keberkesanan dan keselamatan vaksin buat ibu yang hamil sangat meyakinkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau menambah adalah lebih baik mengambilnya vaksinasi selepas tiga bulan kehamilan tetapi dalam keadaan berisiko tinggi seperti bagi kebanyakan populasi hamil di Malaysia, keseimbangan risiko adalah lebih selamat jika diambil pada bila-bila masa kehamilan.
“Risiko ibu mengandung mungkin lebih tinggi disebabkan perut kandungan itu menolak ke atas sedikit diaphragm, sekali gus menyebabkan tahap pada sistem pernafasan itu boleh terganggu dan mereka yang hamil ini lebih cenderung mendapat jangkitan.,” jelasnya.
Namun, jika ibu hamil yang sudah lengkap divaksinasi tetapi dijangkiti dengan Covid-19, besar kemungkinan ibu ini tidak perlu membuat pembedahan bayi seperti yang berlaku sebelum ini,’ ujar beliau – MalaysiaGazette