JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu menemui beliau hari ini.
Pertemuan itu susulan tular video keadaan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang didakwa semakin kritikal dan menyedihkan ekoran kekurangan fasiliti di hospital berkenaan.
Video itu dikongsikan oleh Napsiah Khamis yang menunjukkan para pesakit terpaksa di tempatkan di sebuah khemah dan hanya tidur di atas kerusi.
Dia yang dihubungi juga memberitahu, rakaman video dan gambar yang dikongsikan itu diperoleh daripada seorang rakannya yang juga merupakan salah seorang pesakit di hospital berkenaan.
Napsiah berkata, lebih menyedihkan pesakit juga difahamkan terpaksa mengambil sendiri stretcher yang ingin digunakan.
“Allah, sangat menyedihkan sebenarnya,bayangkanlah warga emas perlu ambil sendiri, saya faham fronliner kita sudah buat terbaik, cuma apa yang saya fikirkan di mana menteri besar, menteri kesihatan dan mereka yang benar-benar bertanggungjawab disaat ini.
“Beginilah keadaannya wad tak cukup, katil tak cukup, hanya khemah tidur sebelah air hujan, tidur pon atas kerusi,atas stretcher, batuk, demam, sejuk, frontliner terpaksa scan pesakit kat luar jer, kasihan frontliner.
“Saya difahamkan oleh rakan, dalam khemah itu sekurang-kurangnya mempunyai sepuluh pesakit, lima dapat baring atas katil dan selebihnya terpaksa baring di atas kerusi malas, lebih kesian kebanyakan warga emas tidak ada katil tetapi kita tidak salahkan fronliner sebab mereka sudah buat terbaik.
“Cuma kita harapkan kementerian buat yang terbaik,fikirlah sesuatu,” katanya ketika dihubungi.
Menerusi ciapan di Twitter semalam, Tunku Ismail memaklumkan beliau akan menyiasat isu tersebut dan meminta laporan yang lengkap untuk tindakan selanjutnya diambil.
“Saya akan siasat dan minta laporan untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih,” katanya yang akan mendapatkan laporan lengkap dan mengambil tindakan sewajarnya. – MalaysiaGazette