Reaksi peniaga, Aidil abu bakar, 35 semasa menonton Perutusan Pemangku Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Peletakan Jawatannya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 2, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri hari ini.

Beliau menyerahkan warkah peletakan jawatan itu dan seluruh Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Menurutnya, keputusan yang dibuat itu selaras dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengahari tadi di Istana Negara.

“Dalam sesi  menghadap itu, saya telah menyerahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Ini bermakna saya dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan,” katanya dalam perutusan terakhirnya. petang ini.

Kata Muhyiddin, walaupun beliau pada awalnya mencadangkan supaya keabsahannya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan kepadanya dan cadangan kerjasama rentas parti yang dikemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang.

Dengan itu, jelasnya, beliau telah kehilangan sokongan majoriti dan tidak perlu lagi keabsahannya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen.

“Maka, pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”.

“Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh.

“Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya.

Katanya, beliau telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.

Tetapi, menurut beliau, ikhtiar itu tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

“Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya.

“Enam tahun lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

“Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri,” ujar beliau.

Namun, menurut Muhyiddin, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir beliau sebagai Perdana Menteri dan redha dengan ketentuan Ilahi.

“Sesungguhnya, jawatan yang saya pikul ini bukanlah suatu kemegahan. Ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang berat. Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Pada masa sama, saya terus digugat dari segi politik, sedangkan saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri, tetapi itu bukan pilihan saya.

“Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa,” tegasnya.

Beliau memohon keampunan daripada rakyat atas segala kekhilafan dan kelemahannya sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Katanya, beliau dan rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan rakyat dalam tempoh krisis yang masih dihadapi pada masa ini.

Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini dengan itu beliau memohon maaf.

Beliau berharap, kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.

Malah, tempoh dua bulan ke hadapan ini amat penting kerana negara dijangka mencapai imuniti kelompok pada Oktober ini.

Katanya, segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak boleh terbantut dan sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga. – MalaysiaGazette