Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan semua tugas jabatan serta agensi di bawahnya terus beroperasi seperti biasa walaupun ketiadaan menteri pada masa ini.

Kata Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, semua penjawat akan bertugas secara profesional dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing seperti yang telah diamanahkan dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak kementerian akan memastikan segala pengurusan dan pentadbiran awam terus berjalan lancar dan tidak terganggu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua jemaah menteri berkuatkuasa hari ini.

Terdahulu hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali memberi jaminan semua penjawat awam akan meneruskan perkhidmatan mereka seperti biasa.

Kata Wan Ahmad Dahlan lagi, KDN tetap memainkan peranan dalam usaha menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di seluruh negara.

“Menjadi tanggungjawab sebagai barisan hadapan bagi menangani pandemik Covid-19 yang terus dilaksana terutama penguatkuasaan pematuhan SOP yang betul,” ujarnya.

Beliau menegaskan, semua perancangan, operasi dan perkhidmatan meliputi dasar, pelaksanaan proses pembangunan, vaksinasi dan Pelan Pemulihan Negara akan berjalan lancar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast