Nurhafizah Jamalludin

KUALA LUMPUR – Persidangan Parlimen Wanita Muda (PWM) yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam, mengemukakan dua usul penting untuk perhatian kerajaan.

Antaranya menggesa kerajaan serius menangani isu keganasan rumahtangga yang semakin meningkat dan menyegerakan pembentangan rang undang-undang serta dasar khusus menangani jenayah gangguan seksual yang berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Menurut Naib Ketua Wirawati Putra Malaysia, Nurhafizah Jamalludin yang mewakili parti politik dalam persidangan itu, sebanyak 10 usul dari 11 kumpulan perwakilan telah dipilih sekretariat yang kemudian dibuka kepada undian awam.

Bagaimanapun, katanya, dua usul itu mendapat undian tertinggi daripada 5,777 undi yang diterima.

“Kita dapati dua usul ini dibahaskan dengan baik sekali dan banyak hujah serta fakta berasas telah diketengahkan perwakilan dengan penuh bergaya, seimbang dengan kelantangan dan ketegasan.

“Celahan yang diizinkan oleh Yang di-Pertua Speaker Dewan juga menguji tahap pemikiran perwakilan untuk menjawab sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis.

“Ini menunjukkan sambutan baik dari pelbagai kaum dan segmen dari kalangan wanita muda serta menzahirkan beliawanis Malaysia turut tidak ketinggalan dalam menerajui dan menghayati Demokrasi Berparlimen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebanyak 222 perwakilan menyertai program PWM iaitu 129 perwakilan Melayu, 19 (Cina), 32 (India), 36 (Bumiputera Sabah/Sarawak), empat (Orang Asli) dan dua (Sikh) yang mewakili NGO dan partis termasuk wakil Pergerakan Wirawati Putra Malaysia.

Beliau menyatakan rasa bangga dengan semangat ditunjukkan perwakilan yang rata-rata berusia awal 16 tahun, termasuk 13 daripada 222 itu adalah golongan kelainan upaya (OKU).

“Kebanyakan perwakilan ini walau berusia muda, sudah menceburi dan memahami dunia politik, menjadikan persidangan ini nampak matang, selain dapat menimba pengalaman sebenar berada dalam Parlimen.

“Saya percaya platform ini dapat memberdayakan lagi wanita muda dalam menjadi sebahagian pemimpin untuk menerajui kepimpinan negara pada masa depan dan satu promosi kepada wanita dalam mengarusperdanakan perwakilan kau mini di Parlimen.

“Wirawati menyarankan program seumpama ini dapat dianjurkan lagi dalam apa jua platform sebagai usaha melahir dan membentuk pemimpin wanita muda generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast