Saksi yang merupakan bekas Exco Pulau Pinang, Datuk Lim Hock Seng hadir ke mahkamah untuk perbicaraan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengenai kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.Foto AFFAN FAUZI, 16 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kes perbicaraan rasuah berprofil tinggi melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melibatkan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bersambung hari ini di hadapan Hakim Azura Alwi.

Hari ini, saksi pendakwaan yang merupakan bekas Pengerusi Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Lim Hock Seng mendedahkan Guan Eng tidak pernah memaklumkan kepada sesiapa termasuk dirinya tentang pertemuannya dengan individu bernama Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Sebaliknya, kata Hock Seng, pihaknya hanya dimaklumkan sebuah syarikat swasta ingin menerokai pembinaan projek terowong di negeri itu tanpa memberikan apa-apa perincian mendalam ketika Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) sekitar Januari 2011.

“Dalam mesyuarat itu, YB Guan Eng hanya menyatakan ada sebuah syarikat berminat menerokai pembinaan projek terowong Pulau Pinang.

“Beliau tidak bercakap tentang sebarang pertemuan mahupun rundingan,” katanya ketika soalan tambahan diajukan kepadanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahahruddin Wan Ladin.

Wan Shaharuddin bertanya tentang apakah yang diketahui oleh Hock Seng tentang hubungan antara Guan Eng dan Zarul.

Hock Seng juga memberitahu dirinya tidak tahu juga tentang pertemuan dan perbincangan Zarul dan Guan Eng di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Perbicangan itu dipercayai berkaitan dengan projek terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di negeri tersebut.

Dalam pada itu ketika sesi soal balas dengan peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo pula, Hock Seng mendedahkan tidak mungkin sesebuah projek mega seperti terowong dasar laut di Pulau Pinang dapat dibangunkan tanpa sebarang usaha sama.

“Terowong bawah laut ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia. Syarikat ZBUCG (Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd) adalah syarikat terkenal di China dan berpengalaman membina stadium Olimpik Beijing,” ujarnya.

Prosiding ditangguhkan sehingga Rabu ini.

Sebelum ini, pada keterangan lepas Hock Seng pernah mendedahkan Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang memperakukan dan bersetuju melantik CZBUCG berhubung penglibatan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Ini kerana CZBUCG mendapat markah tertinggi setelah melalui proses penilaian dua jawatan kuasa teknikal dan kewangan yang dibentuk kerajaan negeri.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu didakwa terhadap tuduhan pindaan menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul dilantik bagi melaksanakan projek itu.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini mengikut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Bekas Menteri Kewangan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette