Sharbinee Allawee.

KUALA LUMPUR – Penjaga Gol Sarawak United FC, Sharbinee Allawee akan lebih berwaspada mengawal gawang dalam memastikan misi meraih kejuaraan Liga Premier 2021 tercapai.

Sarawak kini konsisten dalam kelompok tiga teratas liga dengan dua kekalahan dalam 14 perlawanan dan perlu memastikan tidak lagi tercicir mata bagi merampas kembali takhta liga.

Namun, melihat kepada prestasinya apabila telah bolos 11 gol dalam 15 perlawanan dan telah merekodkan enam clean sheet ketika ini, bekas penjaga gol Pahang ini mengakui belum berpuas hati sepenuhnya dan akan bekerja lebih keras untuk tidak lagi dibolosi dalam aksi-aksi akan datang.

Ini kerana, dengan jurang yang rapat bersama Terengganu FC II dan Negeri Sembilan FC yang kini masing-masing di tangga teratas dan kedua liga menyaksikan perebutan kejuaraan akan lebih sukar.

“Bagi saya, bolos 10 gol sebelum ini pun separuh daripadanya adalah gol penalti pihak lawan dan saya rasa sebenarnya saya mampu untuk buat lebih baik.

“Tidak boleh rasa terlalu berpuas hati kerana misi kami adalah untuk raih kejuaraan Liga Premier dan tidak boleh lagi tercicir mata untuk aksi akan datang.

“Kalau nak bandingkan prestasi saya ketika bersama Pahang musim lepas, saya boleh katakan ia agak berbeza kerana tahun lepas saya beraksi di pentas Liga Super, jadi saingan itu lebih lain.

“Macam-macam mana pun, banyak lagi kelemahan yang perlu saya perbaiki dan saya akan lebih fokus untuk meletakkan Sarawak di kedudukan terbaik”, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast