KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 lagi lokaliti disenaraikan untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan oleh kerajaan selama dua minggu mulai Khamis ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, lokaliti itu ialah Kampung Kuala Abai dan Kampung Payas-payas di Kota Belud, Sabah yang diletakkan bawah PKPD bermula 19 Ogos hingga 1 September ini.

Menurut beliau, turut dikenakan PKPD ialah Beverly Hills Fasa 3 dan Regency Park di Penampang, Sabah; Kampung Iburu dan Kampung Meligan di Sipitang, dan Taman Ria Height di Tawau, Sabah.
“Lokaliti lain ialah Kompleks Baiduri Ayu, Felda Sahabat 9, Lahad Datu; Perumahan Pekerja Ladang Moynod 1, Beluran, Sabah; Felda Jenderak Utara, Kuala Kurau, Temerloh, Pahang; dan Ladang Selbourne, Mukim Gua, Lipis, Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebook Majlis Keselamatan Negara petang ini.
Kata Rodzi, setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, pihaknya bersetuju untuk melanjutkan tempoh PKPD bagi lokaliti Felda Tersang 1, 2 & 3, Mukim Batu Talam, Raub, Pahang sehingga 25 Ogos ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan sebanyak tujuh kawasan akan ditamatkan PKPD mulai esok.
Kawasan itu ialah Falda Krau 1, Mukim Gali, Raub, Pahang; Taman Rakyat Bestari Fasa 1-4 dan Rumah Awam Kos Rendah 1&2 di Bukit Kuang, Mukim Telok Kalong, Kemaman, Terengganu.
Turut ditamatkan PKPD ialah Kampungn Banjar, Keningau, Sabah; Kem 3 Sibulu, Tenom, Sabah dan Penampang Baru, Penampang, Sabah.
Semua kawasan yang dikenakan PKPD bermula 5 Ogos lalu akan tamat sepenuhnya esok. – MalaysiaGazette