Bekalan makanan diagihkan di perkampungan orang asli. - Gambar FB Jakoa

IPOH – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri Perak/Kedah menyangkal dakwaan kononya penduduk Orang Asli yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Batang Padang dekat Tapah hanya minum air sungai serta tidak dibantu.

Jakoa negeri Perak/Kedah dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan yang dilemparkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui media baru-baru ini tidak tepat.

Jelas kenyataan itu, sebanyak 23 buah Kampung Orang Asli (KOA) termasuk tiga di Mukim Bidor dikenakan PKPD sehingga 24 Ogos ini dan bantuan bakul makanan telah diagih-agihkan kepada penduduk yang terkesan menerusi Jakoa selain pihak-pihak berkaitan.

“Pihak Jakoa negeri Perak/Kedah dan Jakoa Daerah Batang Padang/Muallim telah menghantar bantuan bakul makanan kepada 4,949 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di Batang Padang pada 24 Julai lalu.

“Bantuan turut diagihkan oleh Pejabat Ahli Parlimen Tapah pada 27 Julai dengan menghantar lima kilogram beras kepada semua KIR Orang Asli dalam Parlimen Tapah.

“Kita harap tiada lagi NGO atau sesiapa saja di luar sana membuat spekulasi berkaitan keadaan tidak tepat seperti ini lagi,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, pada 13 Ogos Pejabat Daerah Batang Padang telah menghantar bakul makanan kepada enam KOA melibatkan 417 KIR.

“Bantuan turut dihantar kepada penduduk 13 buah KOA melibatkan 794 penerima KIR.

“Selain itu, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang juga menghantar ayam, ikan dan sayur-sayuran kepada 19 buah KOA di kawasan Chenderiang,” kata kenyataan itu.

Sebuah media tempatan pada Sabtu lalu melaporkan penduduk Orang Asli di 23 lokaliti dalam daerah Batang Padang, Mukim Bidor, Ipoh yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak tiga hari lalu dilaporkan belum menerima sebarang bantuan makanan.

Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Ramesh Arumugam Chettiar mendakwa  kesemua penduduk di perkampungan tersebut kini terputus bekalan makanan dan berada dalam kelaparan. – MalaysiaGazette