Foto Instagram Elyana.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Elyana mohon orang ramai mendoakan kesihatan ibunya, Shamsidar Alias yang dijangkiti positif Covid-19, semalam.

Berita itu dikongsi menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman Instagram (IG).

Elyana bagaimanapun bersyukur apabila ahli keluarga lain termasuklah bapa, Emrizal Shamsudin dan adik lelaki, Eizad Ezmeer bebas virus berbahaya itu

Penyanyi berusia 34 tahun itu berkata, ibunya sedang menjalani kuarantin kendiri di Shah Alam.

Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal berkata, keadaan kesihatannya sendiri agak terbatas dan tidak banyak dapat dilakukan untuk keluarga.

Dia sudah selesai menjalani 10 sesi radioterapi dan akan menyambung rawatan kimoterapi, tidak lama lagi.

Pada Jun lalu, Elyana dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi berikutan penyakit kanser limfoma yang dihadapi sudah merebak ke dada, paru-paru, belakang rahim, usus dan beberapa bahagian badan yang lain.

Elyana menghidap kanser limfoma sejak 2012 membuat pendedahan mengenai penyakitnya pada 2017 ketika tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat.

Pelakon filem Dunia Baru The Movie dan Dukun itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010. Mereka dikurniakan cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10, dan Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast