KUALA LUMPUR – Selepas tidak lagi bergelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal aAgama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri akan terus aktif di sosial media bagi menjawab pertanyaan-pertanyaan orang ramai berkaitan agama bagi memberi penerangan yang lebih jelas kepada semua.
Menerusi hantaran Facebook miliknya, beliau membuat ucapan terima kasih kepada semua pihak terutamanyan petugas-petugas di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Dalam ucapan yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan menteri kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN), Zulkifli menzahirkan penghargaan yang tidak berbelah bahagi kerana telah diberi kepercayaan menjadi senator serta menteri walaupun dalam masa yang singkat.
Beliau turut berkongsi beberapa gerak kerja yang telah dijalankan sepanjang menjawat jawatan sebagai menteri sejak Mac tahun lalu.
Pada masa sama, Zulkifli juga memohon maaf sepanjang berkhidmat sekiranya terdapat sebarang kekurangan yang tidak disenangi oleh mana-mana pihak.
Zulkifli, 52, sebelum ini telah berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan sejak 2014 dan dilihat sebagai tokoh agama yang moderat.
Semalam, semua Menteri Kabinet telah meletak jawatan selepas perdana menteri kehilangan majoriti ahli Parlimen. – MalaysiaGazette