KUALA LUMPUR – Kedudukan kerajaan Pas Kelantan tidak terjejas sungguhpun Kabinet kerajaan Persekutuan dibubarkan semalam, berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diteruskan mengikut jadual Isnin ini dengan tiada perubahan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berlaku.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, persidangan itu akan berlangsung dengan SOP ketat memandangkan penularan wabak Covid-19 masih meningkat.
“Persidangan DUN Kelantan yang dijadualkan Isnin ini akan diteruskan seperti ditetapkan sebelum ini.
“Kedudukan kerajaan negeri tidak terjejas biarpun kabinet kerajaan Persekutuan dibubarkan susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri semalam.
“Persidangan akan dilaksanakan mengikut SOP yang lebih ketat bagi membendung penularan Covid-19,” katanya yang di Harakahdaily hari ini.
Menurut Abdullah, semua ADUN perlu menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum dibenarkan memasuki dewan.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dilapor memberitahu terdapat 85 kes positif berkaitan sidang khas Parlimen yang bersidang dari 26 hingga 29 Julai lalu.
Penularan itu termasuk 56 kes yang dikesan ketika saringan sebelum sidang dan 17 kes semasa sidang.
Malah, hasil siasatan Kementerian Kesihatan (KKM) pula mendapati besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu memberi risiko penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen.
Sehubungan itu kata Abdullah, SOP lebih ketat di persidangan DUN Kelantan akan dilakukan bagi memastikan mereka yang terlibat tidak membawa sebarang jangkitan.
Selain itu, pihaknya juga tidak membenarkan mereka yang mempunyai gejala untuk berada di dalam Dewan.
Persidangan DUN Kelantan yang berlangsung selama tiga hari itu akan dijalankan secara bersemuka di Kompleks Kota Darulnaim. – MalaysiaGazette