BALIK PULAU – Kira-kira 1,000 penduduk di kawasan perumahan sekitar Teluk Kumbar, Balik Pulau serta Teluk Bahang terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan selama lima jam hari ini.
Hujan lebat bermula jam 10 pagi turut mengakibatkan ratusan rumah ditenggelami air lebih setengah meter.
Antara lokasi yang terjejas teruk adalah Kampung Masjid, Kampung Suluo di Teluk Kumbar; Titi Teras, Kampung Terang, Pulau Betong, Kampung Kongsi, Kampung Genting, Sungai Burung dan Jalan Bharu bagi Balik Pulau.
Pegawai Tanah dan Daerah Barat Daya, Mohd Hafiz Aswad Nazri berkata, kira-kira 300 buah rumah membabitkan 800 mangsa terjejas akibat banjir kilat di Teluk Kumbar.
Jelas beliau, banjir terburuk dalam tempoh 10 tahun itu berlaku dipercayai berpunca daripda hujan lebat selama lima yang mengakibatkan air sungai di kawasan tersebut melimpah dan memasuki rumah penduduk.
“Proses pemindahan mangsa banjir yang terperangkap dijalankan bermula jam 6 petang dengan bantuan pihak polis, bomba serta Angkatan Pertanahan Awam Malaysia (APM).
“Warga emas, kanak-kanak serta mereka yang terjejas teruk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan kita turut sediakan bantuan makanan di lokasi.
“Buat masa ini, kita tempatkan anggota beberapa agensi untuk memantau keadaan dan kita percaya air akan surut malam ini jika cuaca tidak hujan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Pegawai APM Barat Daya, Leftanan Norazizan Zakaria berkata, pihaknya memindahkan kira-kira 200 mangsa susulan kelajuan air di kawasan tersebut membimbangkan penduduk.
“Kita guna jentera APM untuk membawa mereka yang terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak ke pusat pemindahan,” kata beliau.
Sementara itu, mangsa banjir, Nurul Suhaila Abu Seman,37, berkata, dia dan dua orang anaknya hampir hanyut dibawa arus air banjir susulan terjatuh ketika cuba menyelamat diri.
“Ketika itu saya bersama anak berusia empat dan lapan tahun mahu ke rumah adik ipar untuk berlindung memandangkan rumah kami dinaiki air paras pinggang dan nasib penduduk kampung nampak dan tarik kami daripada dibawa arus.
“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang dalam rumahnya susulan air naik mendadak dalam tempoh yang singkat tambahan pula suami keluar bekerja ketika ini.
“Saya seorang dan hanya fikir mahu menyelamatkan nyawa kami tiga beranak. Malah, ini kali pertama banjir seteruk ini dalam tempoh 10 tahun saya menetap di sini,” kata Nurul Suhaila.
Salah seorang penduduk kampung Pulau Betong, Balik Pulau, Mohd Nazri Kamarudin, 20, berkata, mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah kerana air naik begitu cepat.
Malah rumah bapanya di Kampung Terang juga mengalami keadaan yang sama.
“Kali terakhir kawasan ini dinaiki air ialah kira-kira tiga tahun lalu namun tidak seburuk ini.
“Semua barangan terutama perabot dan beberapa barangan penting juga tidak dapat diselamatkan,” kata Mohd Nazri. – MalaysiaGazette