KUCHING – Kes positif COVID-19 varian Delta dikesan meningkat dengan ketara di Sarawak, menurut Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pengarah IHCM Prof Dr David Perera dalam kenyataan hari ini berkata, kadar pengesanan lebih 73 peratus direkodkan baru-baru ini, yang merupakan peningkatan ketara berbanding 50 peratus yang dilaporkan pada 3 Ogos.

Beliau berkata, di bahagian Kuching sahaja, kadar pengesanan varian Delta menjangkau 90 peratus.

“Varian ini juga terus dikesan di Bau, Lundu, Kota Samarahan, Simunjan, Miri dan Bintulu. Kita juga mengesan enam varian Delta di Sibu,” katanya.

Sejak mula penularan COVID-19 tahun lepas, ICHM berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik ini, dan diberi tanggungjawab menguji sampel serta analisis jujukan genom bagi mengesan perubahan virus.

Prof Perera berkata, sehingga 10 Ogos, sejumlah 249 varian yang membimbangkan (VOC) dan varian yang perlu diperhatikan (VOI), dikesan daripada 338 kes positif COVID-19 yang dijujukan, dan daripada jumlah ini, 248 adalah varian Delta.

Beliau berkata sehingga 10 Ogos lepas jumlah keseluruhan 592 VOC/VOI dikesan di Sarawak daripada kes-kes positif COVID-19 di Sarawak. – MalaysiaGazette