KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri mesyuarat UMNO berkaitan pelantikan Perdana Menteri di PWTC hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah ketika prosiding dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri membenarkan permohonan untuk mahkamah tangguh beberapa jam.
Ini kerana peguam utama yang mewakili Najib memohon kebenaran supaya Najib dibenarkan hadir mesyuarat berkaitan pelantikan Perdana Menteri ke-9 memandangkan Ahli Parlimen Pekan itu merupakan Penasihat Barisan Nasional (BN) dan perlu hadir dalam mesyuarat itu.
“Saya mohon supaya mahkamah membenarkan anak guam saya hadir mesyuarat memandangkan beliau adalah penasihat BN dan perlu mempengerusikan mesyuarat penting ini.
“Untuk makluman Najib perlu bermesyuarat bersama-sama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga Datuk Seri Mohammad Hassan,” katanya di hadapan Collin sebentar tadi.
Bagaimanapun Collin turut mengingatkan Najib supaya kembali ke prosiding jam 2.30 petang memandangkan perbicaraan perlu diteruskan pada hari ini.
“Kita boleh terima alasan mesyuarat ini memandangkan situasi pada masa ini. Tetapi kita perlu sambung prosiding pada sebelah petang. Mesyuarat di PWTC ini penting kerana keadaan negara pada masa ini. Itu sahaja.
“Tetapi perlu difahami kebenaran ini tidak terpakai untuk mesyuarat-mesyuarat lain kecuali pada hari ini,” tegas Collin.
Semalam dilaporkan semua wakil rakyat UMNO BN sebulat suara memilih Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri. -MalaysiaGazette