Gambar menerusi carian di Google menunjukkan banyak pokok sudah dibersihkan dan operasi perlombongan dilakukan di kawasan tersebut. - Gambar ihsan CAP.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa hentikan semua aktiviti yang merosakkan di kawasan ekosistem rapuh Gunung Jerai, Kedah.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dan Presiden SAM, Meenakshi Raman dalam satu kenyataan mendakwa, kejadian itu mungkin berpunca daripada penebangan pokok serta projek kuari di kawasan berkenaan.

Jelas mereka, banjir lumpur yang boleh dilihat menerusi rakaman video tular menunjukkan dengan jelas aktiviti pembukaan tanah mungkin berlaku di sana.

Mohideen Abdul Kader

“Betul bukan daripada aktiviti pembalakan tetapi kami bersama-sama penduduk kampung di Bukit Singkir, Yan sudah lama menolak projek kuari di Hutan Simpan Gunung Jerai lebih dari 15 tahun lalu.

“Penggalian ini dibenarkan pemerintah negeri ketika itu walaupun ia melanggar Rancangan Struktur Yan.

“Seharusnya tidak ada pembukaan hutan di sini tetapi gambar menerusi carian Google menunjukkan banyak pokok sudah dibersihkan dan operasi perlombongan dilakukan di kawasan sensitif terhadap alam sekitar berkenaan,” kata kenyataan itu.

Tambah mereka, pihak berkaitan juga perlu melakukan penyelidikan mengenai tragedi itu supaya orang ramai dapat mengetahui punca sebenar kejadian.

 

“Siasatan dan langkah pencegahan perlu dijalankan semula bagi kerja pemulihan terutama jalan yang musnah akibat aliran lumpur, tanah runtuh dan banjir yang dashyat.

Meenakshi Raman.

“Ia bagai satu amaran dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor perlu bertindak kerana ia jelas berpunca daripada aktiviti oleh syarikat yang dibenarkan, bertentangan dengan pelan strukturnya.

“Gunung Jerai adalah kawasan sensitif terhadap alam sekitar yang mesti dilindungi dan tidak dimusnahkan,” ujar kenyataan yang sama.

Semalam, penduduk yang terjejas turut kejadian itu umpama tsunami kecil ekoran keadaannya yang berombak kuat sehingga mengakibatkan pokok serta jambatan runtuh dengan sekelip mata.

Sementara itu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kejadian banjir yang menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Gunung Jerai di sini, bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan.

Jelas beliau, ia akibat fenomena kepala air selepas hujan lebat petang tadi.

“Tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai kerana kawasan itu telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.

“Arus deras ekoran fenomena kepala air turut membawa pokok sekitar hutan simpan turut dibawa arus deras sehingga ke sungai,” kata beliau semalam. – MalaysiaGazette